Rakyat tolak 3 perkara -
1) rasuah
2) salahguna kuasa
3) memainkan sentimen rasis.
Isu perkauman elok dihentikan sebelum terlambat.Mengendung isu perkauman tidak berhenti-henti sangat menjemukan kerana rakyat hendak hidup dengan aman dan damai. Isu ini hanya diperbesarkan oleh mereka yang lemah sokongan dan menggunakan isu ini sebagai cara untuk mendapatkan sokongan dari kaumnya sendiri.Isu perkauman hanya permainan politik Umno/BN yang berkuasa dan mereka yang tidak mampu untuk menjadi pemimpin kepada rakyat. Umno/BN menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi mereka semata-mata.
Mahu tidak mahu Umno/BN mesti akui yang semua rakyat ada hak untuk bersuara. Kerajaan Malaysia patut mengambil tindakan dengan undang-undang terhadap sesiapa yang melaungkan sentimen perkauman yang terlalu menebal. Kita terpaksa menerima yang semua kaum adalah rakyat Malaysia. Mereka berhak untuk bersuara tentang nasib masa depan mereka.
Masa depan Malaysia ditentukan oleh rakyatnya sendiri. Pemimpin tidak boleh menekan dan memaksa sesiapa pun untuk memberikan sokongan secara terus menerus kerana pemimpin itu sendiri telah dipilih oleh rakyat buat satu masa yang ditetapkan dan di negara kita mereka dipilih selama 5 tahun sahaja.
Dalam hal negara kita BN telah diberikan mandat sebegitu lama, tetapi keyakinan rakyat yang berterusan itu telah di salah guna oleh mereka dan mereka sudah menganggap yang hak untuk memerintah itu hanya ada kepada BN semata-mata. Dalam usaha mengekalkan mandat itu BN telah melangkaui batas-batas demokrasi yang sebenarnya.
BN khususnya UMNO tidak lagi percaya kepada sikap toleransi dan etika demokrasi yang sebenarnya dan sikap ini lama kelamaan menjadikan rakyat yang mempunyai walaupun sedikit pemikiran menjadi bosan. Rakyat sudah mula jemu dengan isu-isu yang diketengahkan terhadap parti-parti halal yang juga mempunyai hak untuk menawarkan untuk mendapatkan mandat dari rakyat.
Maka sekarang ini parti-parti BN yang berteriak tentang isu rasis ini dengan secara beransur-ansur dipinggirkan oleh rakyat berbilang kaum di negara ini. UMNO terutamanya masih dengan retorik usangnya kerana masih bercakap sesama sendiri betapa pentingnya UMNO itu untuk dikekalkan kerana UMNO sahajalah yang boleh menjamin masa depan negara dan orang Melayu.
Tetapi persoalannya benarkah UMNO kini masih relevan sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan orang Melayu? Dulu benar yang UMNO merupakan parti kebangsaan yang menjadi payung kepada orang Melayu di samping menjaga kepentingan orang-orang bukan Melayu. Malahan orang-orang bukan Melayu memang menyokong UMNO itu untuk meningkatkan kedudukan orang Melayu yang akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
Tetapi keyakinan ini sudah hilang samasekali kerana UMNO mengambil sokongan semua pihak ini secara ‘for granted’. UMNO telah menjadi kumpulan yang kufur terhadap nikmat yang di dapati melalui sokongan semua kaum ini. Oleh kerana unsur rasuah dan kecenderungan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri untuk mengaut kekayaan sejak 3 dekad yang lalu, UMNO telah beransur-ansur menjadi lemah dan rasuah dalam parti telah menaikan mereka yang lemah kepimpinan untuk menjadi pemimpin dengan wang ringgit hasil dari kekayaan yang di dapati secara ‘ill gotten’ tadi.
Sokongan dari kaum bukan Melayu itu telah menurun kerana UMNO sendiri telah menyalah gunakan sokongan mereka kepada UMNO dengan secara terbuka dan mudah dipandang dan dilihat. Bukan Melayu telah menyaksikan bagaimana UMNO telah mempermainkan orang Melayu sendiri apabila DEB yang sepatutnya tamat tempoh pada tahun 1990 dahulu telah tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan UMNO sendiri dan pada hakikatnya DEB itu telah ditamatkan riwayatnya bertahun-tahun sebelum tempoh berakhirnya dasar itu.
Orang-orang bukan Melayu sendiri melihat hak dan keistimewaan orang Melayu itu telah di salah gunakan kerana diambil kesempatan oleh kroni-kroni pucuk pimpinan di atas nama Bumiputra. Projek-projek ekonomi yang besar-besar dalam jumlah ratusan billion ringgit telah diberikan kepada beberapa orang Melayu dan Bumiputra secara ‘negotiated tender’ dan harganya melambong tinggi dengan menggunakan wang dari cukai yang di kutip dari rakyat. Projek ini kebanyakannya tidak termasuk di dalam rancangan pembangunan 5 tahun yang menjadi amalan kita selama ini.
Semua projek dilaksanakan secara ‘express’ dan rasuah pun mula bermaharajalela tanpa sekatan. Zaman itulah kita melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana Melayu dan Bumiputra baru ini menjadi seperti saudagar minyak Arab yang terbang kesana kemari dengan jet peribadi dan seumpamanya.
Sekarang semua jet-jet tersebut sudah tiada lagi kerana mereka tidak mampu untuk bertahan. Kata seorang yang mempunyai jet peribadi dahulu memberitahu, “kalau kita membeli jet ianya hanyalah merupakan ‘2 times happiness’ sahaja. Pertamanya semasa mendapat menerima penghantaran jet itu dan yang keduanya semasa jet itu dapat dijual atau ditarik balek (repossess) oleh syarikat kewangan yang memberikan pinjaman itu”. Ada di antara mereka telah jatuh merudum kerana kesilapan memberi mereka menjadi kaya raya secara kilat.
Ratusan billion ringgit keuntungan pembangunan hanya dinikmati oleh segelintiran rakyat yang akhirnya hidup di dalam kufur nikmat yang tidak terperi. Semuanya ini mendapat perhatian rakyat ramai dan mereka sudah tidak lagi yakin dengan jenis pimpinan seperti ini. Sekarang ini pemimpin-pemimpin yang jenis dan kumpulan ini pula yang ingin menyakinkan rakyat tentang transformasi ekonomi dan transformasi politik untuk negara.
Bagaimana rakyat hendak percaya sedangkan projek pertama untuk melaksanakan transformasi ini masih lagi mempunyai unsur-unsur yang tidak menyenangkankan rakyat. Yang dimaksudkan ialah projek raksaksa MRT yang akhirnya akan menelan belanja sebanyak lebih dari 60 billion ringgit melalui syarikat orang berpengaruh secara ‘negotiated’ tender. Ini menyakitkan kepada siapa yang faham sedikit sebanyak tentang apa yang sebenarnya berlaku di dalam kes projek ini.
Projek yang sebesar ini sepatutnya dilakukan dengan ‘tender antarabangsa’ dan tidak terkejut jika ianya dilakukan secara tender ini projek ini akan memakan kos yang kurang dari 30 billion ringgit. Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat kerana begitu ‘suspicious’ kerana rakyat telah banyak kali terkena dengan projek-projek raksaksa yang telah menelan belanja yang jauh lebih besar dari yang sepatutnya. Rakyat tahu berbillion-billion dari jumlah kos itu merupakan jumlah ‘kick back’ kepada pihak-pihak tertentu.
Alah bisa tegar biasa. Rakyat sudah tidak lagi percaya cara dan kos yang terlibat dalam projek seperti ini merupakan proponent yang tepat dalam projek ini. Perkara-perkara seperti inilah yang menyebabkan terbinanya persepsi yang sangat buruk terhadap kerajaan dan nampaknya kerajaan tetap melakukannya. Tidak ada bayangan yang kerajaan sedar dan mahu berubah Apabila telah ketagih dengan rasuah kegiatan ini memang tidak dapat diubati lagi.
Rakyat berbilang kaum sudah hilang keyakinan terhadap BN khusunya UMNO dan krisis keyakinan seperti ini selalunya akan mendapat hukuman dari rakyat semasa pilihanraya nanti.
Rasuah dan penyalah gunaan kuasa tetap dilakukan, tetapi rakyat tidak dibenarkan bersuara untuk menentangnya. Jika rakyat bersuara ada yang ditangkap dibawah EO pula. Justru kehendak UMNO ialah, ‘biarkan aku rasuah dan kamu mesti terus menyokong aku. Kalau tidak aku akan tangkap kamu dan penjarakan kamu’.
Persoalannya siapa yang hendak mempercayai janji UMNO untuk membela generasi yang akan datang sedangkan generasi sekarang pun sedang menghadapi masalah keji ini? Rakyat nampaknya ingin mencari hala tujuan baru. Mereka sedang beransur-ansur lari dari perjuangan rasis yang dibina oleh UMNO begitu tebal.
Rakyat mahu mencari kerajaan yang mempunyai ‘decency’ yang jelas dan pasti. Itulah sebabnya ramai rakyat termasuk orang Melayu sedang dalam pencarian dan setengahnya sudah pun mengambil keputusan untuk memberikan perhatian terhadap 2 parti, iaitu PAS dan DAP.
PAS merupakan parti yang secara relatifnya lebih bersih dan mempunyai disiplin kepartian yang kuat. DAP pula merupakan parti berbilang kaum yang terbukti mampu mentadbir kerajaan dengan jujur dan mendapat sokongan semua kaum. Di Pulau Pinang, MCA dan Gerakkan sudah menjadi tidak mempunyai pengaruh lagi. UMNO pula sudah menjadi seperti pelesit kehilangan tuan…menyalak kebukit dan lembah kerana sudah hilang segala punca penyelesaiannya.
UMNO di P Pinang sudah hilang segala hidayah dan amat sukar untuk kembali berjiwa dalam masa yang singkat ini. UMNO hanya akan dapat kembali sembuh dari penyakit krisis keyakinan ini jika seluruh pimpinan sekarang mengambil tempat dibelakang dan memberikan kepada orang lain untuk menerajuinya. Kalau masih tidak mahu berkorban maka UMNO akan terkorban. Jangan menyesal dikemudian hari, kerana ia tiada gunanya lagi.
Hanya 3 perkara yang ditolak rakyat dari kerajaan yang memerintah sekarang. Apakah 3 perkara itu?
Pertamanya kerajaan sekarang mesti berjaya untuk menghilangkan persepsi rasuah. Keduanya rakyat menolak sistem pentadbiran ala “police state’ yang sedang berlaku pada hari ini. DAN yang akhir sekali rakyat menolak kerajaan dan UMNO memainkan sentiment rasis yang terlalu menebal sekarang ini.
Tetapi ketiga-tiga elemen inilah yang sudah pasti tidak mampu dilakukan oleh pemerintah pada hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan