Ucapan perkauman, seminar 1Malaysia dipulau
.. Kenyataan berbau perkauman yang diluahkan oleh seorang pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada seminar ’1Malaysia’ di Melaka, baru-baru ini menyaksikan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.
Menurut sumber, pegawai khas Najib, Nasir Safar (kanan, bertali leher) menimbulkan kemarahan hadirin apabila dia melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang.
Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.
Pemuda MIC dijadual membuat laporan polis lewat hari ini dan satu memorandum bantahan akan juga dikemukakan kepada Najib apabila beliau dijadualkan melawat Melaka pada 4 Feb.
Sementara itu, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu melahirkan rasa marahnya berhubung insiden berkenaan.
Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai isu perkauman yang melampau menggesa perdana menteri mengambil tindakan sewajarnya ke atas pembantunya.(Malaysiakini)
Tidak habis-habis dengan isu perkauman. Tidak jemu-jemu dengan cerita pendatang. Tidak muak-muak dengan ugutan menarik balik kerakyatan.
Sikit-sikit hendak tarik balik kerakyatan. Sikit-sikit mahu lucutkan kerakyatan. Seorang rakyat Malaysia yang dilahirkan di Malaysia, dibesarkan, berak dan kencing di Malaysia, apabila ditarik balik atau dilucutkan kerakyatannya, dia hendak pergi ke mana? Janganlah tolol sangat dalam hal ini.
Kali ini, orang yang membangkitkan cerita panas ialah pembantu khas kepada Perdana Menteri sewaktu berucap di seminar 1 Malaysia.
Bukankah gagasan 1Malaysia gagasan perpaduan nasional? Kenapakah menimbulkan isu perkauman dalam seminar gagasan murni itu? Mereka yang tergores hati dan bertindak meninggalkan majlis bukan orang luar, melainkan sekutu UMNO dalam Barisan Nasional. Jikalau ahli DAP atau PKR yang meninggalkan majlis, mungkin dituduh sengaja sabotaj gagasan 1Malaysia. Ini MIC dan MCA. Mustahil MIC dan MCA yang berkepit dengan UMNO sejak puluhan tahun mahu sabotaj gagasan anak emas Perdana Menteri.
Kita cukup hairan setelah 50 tahun merdeka masih kedengaran istilah “pendatang” diucapkan bagi merujuk kepada kaum Cina dan India. Memanglah orang Cina dan India berasal dari tanah besar dan dibawa masuk oleh penjajah British. Akan tetapi mereka yang dibawa masuk itu sudah masuk kubur, kecuali beberapa kerat sahaja yang masih hidup. Itupun sudah terlalu tua. Orang Cina dan India yang ada hari ini ialah mereka yang dilahirkan di Malaysia. Malaysia ialah bumi ibunda mereka. Jikalau mengidam sangat hendak menyebut “pendatang” pergilah ke kubur Cina atau India. Jeritlah kuat-kuat, tiada siapa larang.
Dalam majlis “perpaduan” seperti seminar 1Malaysia, perkataan “pendatang” digunakan biarpun dengan tujuan baik sekalipun, ia melukakan hati orang lain. Jangan hanya pada waktu pilihan raya sahaja kaum Cina dan India diterima sebagai penduduk Malaysia, tetapi selepas pilihan raya mereka kembali jadi “pendatang”.
Apakah untungnya kita membahagikan rakyat 1Malaysia kepada penduduk asal dan keturunan pendatang? Adakah dengan pembahagian ini negara kita akan lebih maju, dihormati dan disegani oleh dunia? Rasanya tidak. Malah kita akan dipandang hina sekiranya kita gagal memelihara perpaduan kaum yang kita kecapi hari ini.
Kita tahu bahawa sesetengah parti politik berasaskan kaum begitu terdesak untuk meraih sokongan kaum sendiri. Akan tetapi tidak wajar kita menggadai perpaduan demi meraih sokongan. Semua pemimpin politik seharusnya meletakkan perpaduan di atas segala-galanya. Sekuat mana sesebuah negara, tanpa perpaduan negara itu akan jadi lemah.
Kerajaan seharusnya bertegas dalam hal perpaduan. Sesiapa yang cuba menggugat perpaduan dikenakan hukuman berat. Namun, jangan pula mengambil kesempatan menghukum parti lawan sahaja, sedangkan parti di bawah ketiak sendiri bebas melakukan provokasi kaum. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh memilih bulu. Sesiapa sahaja, pemimpin besar mahupun kecil sekiranya didapati dengan sengaja menggugat perpaduan kaum wajib dihukum.
Mampukah kerajaan bertegas dan adil dalam hal ini memandangkan UMNO, MCA dan MIC merupakan parti berasaskan kaum. Kita tidak mahu, misalnya pemimpin UMNO membangkitkan isu perkauman, tetapi pemimpin DAP yang ditangkap dan dikenakan hukuman.
Sekiranya kerajaan mampu, maka legalah kita kerana perpaduan ala Barisan Nasional tetap terpelihara, sekurang-kurangnya sehingga berakhirnya era BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan