2 November 2011
Pakatan Rakyat Batu Gajah berasa kesal dengan tindakan Majlis Daerah Batu Gajah kerana mengubah suai tapak buah-buahan berhampiran dengan Taman Orkid. Tempat ini merupakan satu tapak kosong yang luas berhadapan dengan pasar awam Batu Gajah.
Tapak ini telah dibina lebih kurang 3 tahun yang lalu dan berada dalam keadaan yang cukup baik. Sudah tentu Majlis Daerah telah membelanjakan beratus ribu ringgit menyiapkan tapak ini. Pada hari Ahad dan pada musim perayaan, tapak ini digunakan oleh orang ramai sebagai tempat letak kereta.
Ini adalah kerana pasar awam Batu Gajah tidak mempunyai tapak tempat letak kereta yang mencukupi. Selain daripada itu, tapak ini juga digunakan untuk mendirikan gerai-gerai pada bulan Ramahddan.
Tiba-tiba Majlis Daerah Batu Gajah mula membuat satu projek yang tidak diketahui umum di tapak ini. Ada jentera-jentera yang sedang memecahkan tapak tar yang sedia ada. Kerja-kerja ubah suai tapak itu telah dimulakan. Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang papan tanda di tapak itu untuk menerangkan atau member i maklumat mengenai projek yang dijalankan. Oleh yang demikian, orang ramai tidak mengetahui apakah sedang dilakukan oleh Majlis Daerah Batu Gajah di tapak buah-buahan itu.
Sungguh menyedihkan kerana pihak Majlis juga tidak pernah memberitahu projek-projek yang dijalankan oleh mereka kepada Ahli Dewan Negeri kawasan itu. Apa guna mewar-warkan ‘Local Agenda 21’ jika Majlis Daerah tidak telus dalam memberitahu wakil rakyat dan penduduk tempatan tentang projek yang dijalankan di sesuatu kawasan di bawah bidang kuasanya. Ini bererti pihak Majlis Daerah sendiri tidak faham tentang maksud ‘Local Agenda 21’ dan menyebutnya secara mebuta tuli.
Projek pengubahsuainan tapak ini adalah satu projek yang boros. Melihatkan kerja-kerja yang sedang dijalankan, projek ini sudah tentu menelan belanja beratus ribu ringgit. Tidak ada sebarang keperluan untuk mengubah suai tapak ini. Ini adalah satu projek semata-mata untuk menghabiskan wang rakyat dan tidak membawa sebarang keuntungan ekonomik kepada orang ramai. Ini merupakan satu bukti bahawa pihak Majlis Daerah tidak mempunyai satu perancangan yang baik. Itulah sebabnya senantiasa mengamalkan budaya ‘buat kemudian pecah, kemudian buat yang baru’.
Banyak projek-projek gajah putih telah dilaksanakan oleh Majlis Daerah Batu Gajah. Semua ini telah membelanjakan wang rakyat sewenag-wenangnya. Banyak lagi projek-projek yang lebih penting perlu dibuat tetapi tidak dibuat oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah. Aduan rakyat mengenai longkang tersumbat, jalan rosak, masalah banjir kilat, keperluan lampu jalan, kerosakan alat-alat mainan di padang permainan dan macam-macam lagi tidak dipedulikan oleh pihak Majlis Daerah.
Majlis Daerah Batu Gajah hanya memberi tumpuan kepada projek-projek mewah yang tidak membawa faedah kepada rakyat jelata. Natijahnya, ini menimbulkan perasaan marah dikalangan orang ramai yang membuat aduan mengenai masalah harian yang dihadapi oleh mereka. Pembayar cukai taksiran diabaikan dengan alasan tidak cukup dana. Akan tetapi, Majlis Daerah sanggup membuat projek-projek mewah seperti ini. Ada juga gejala-gejala kronisme yang menjadi buah mulut yang sangat ketara dikalangan warga Batu Gajah.
Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah yang baru harus memandang serius masalah-masalah ini. Budaya lama sebelum ini perlu dikikis dan amalan berjimat cermat perlu diutamakan. Jangan membuat projek-projek kalut yang tidak membawa manfaat kepada rakyat malah merugikan wang pembayar cukai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan