Merangkap Bendahari DAP Selangor. Beliau adalah antara wakil rakyat muda DAP yang gigih berusaha membantu serta menyuarakan keperluan rakyat. Kenali beliau melalui wawancara bersama penyelaras Roketkini Mazir Ibrahim.
Boleh saudari ceritakan sedikit bagaimana mula melibatkan diri dalam politik secara aktif.
Saya belajar di Australia dan balik ke Malaysia pada tahun 2003. Saya belajar dalam bidang undang-undang dan kemudian balik ke sini untuk berkerja. Kemudian saya bertemu dengan Edward Ling yang sekarang merupakan Setiausaha Politik saya.
Kami dari sekolah yang sama, bila kita berjumpa dan keluar makan sama-sama, kita selalu bincang tentang hal-hal awam dan keadaan dinegara kita. Pada masa tu saya, baru bekerja dan sedang sibuk nak beli kereta sebab keadaan pengangkutan awam kita teruk.
Dalam pada masa tu mula timbul banyak persoalan kenapa banyak sangat cukai yang rakyat kena bayar tapi mutu pengangkutan awam masih teruk. Harga kereta pun mahal dengan pelbagai cukai yang dikenakan.
Akhirnya dia ajak saya untuk mendaftar jadi pengundi, sebab untuk bantu mengubah keadaan ini kita kena mengundi. Jadi saya pun mendaftar.
Kemudian, kawan-kawan bagi tahu Tony Pua (sekarang Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP) sedang nak buka pusat khidmat masyarakat di Damanasara, jadi mereka perlukan profesional muda untuk bantu.
Masa itu saya tak tahu sangat tentang DAP sebab dalam minda saya, apa saja tentang DAP adalah berkenaan dengan Cina dan paling bermasalah bagi saya ialah nak bertutur dalam bahasa Cina. Saya tak pandai berbahasa Cina, I cannot speak Mandarin, jadi persepsi untuk pertama kali itu tak begitu baik pada DAP.
Kemudian setelah jumpa Tony Pua, barulah kami rasa boleh relate dengan dia sebab Tony berbahasa Inggeris, kami sama-sama young working professionals. Lepas itu baru saya join jadi ahli DAP, ahli biasa saja.
Masa saya mula bantu dia, saya cuma sekadar tolong untuk majlis perasmian pusat khidmat dia. Saya cuma in charge dalam urusan makan minum untuk acara itu. Itu saja yang saya buat pada masa itu.
Bila pilihan raya 2008 datang, saya nak mengundi kali yang pertama. Kemudian dapat tahu DAP perlukan seorang calon wanita untuk bertanding di Subang Jaya, maka saya telah dipilih untuk bertanding.
Dengan kelulusan saudari, pernah jadi peguam?
Saya belajar di University Tasmania. Sebenarnya selepas habis belajar, saya practice kelulusan saya itu. Saya dapat kerja di Australia di salah sebuah firma undang-undang.
Tapi ada sedikit masalah di sana kerana saya warganegara Malaysia, di sana ada sedikit isu bagi mereka kerana ada aduan tentang warganegara Australia yang ramai menganggur. Jadi mereka kata mengapa ambil saya bekerja. Jadi perlantikan saya agak bermasalah bagi firma itu.
Pada masa yang sama ibu bapa saya minta saya pulang dan kerja di Malaysia. Saya pun pulanglah.
Kenapa sertai DAP?
M asa mula-mula masuk sebab nak sokong kawan saya Edward. Dan kami dalam bidang yang sama, jadi memang niat saya nak membantu dia. Saya tak ada cita-cita dalam politik. Kebetulan bapa saya sangat menghormati Lim Kit Siang dan Karpal Singh. DAP pun parti pelbagai kaum. Sebab itu saya rasa selesa masuk DAP. Kalau DAP untuk Cina sahaja, mungkin saya kurang berminat dengannya.
Masa bertanding dalam PRU 2008, apa agenda saudari?
Pada masa itu saya sangat geram dengan rasuah. Kalau korupsi berjaya dikawal, sudah tentu rakyat dapat nikmati faedah yang lebih dalam semua aspek, contohnya pengangkutan awam. Itu perkara pertama.
Kemudian pada masa yang sama saya tengok berjuta-juta ringgit wang rakyat digunakan untuk projek yang tak berfaedah, contohnya di Subang Jaya sendiri, kerajaan BN belanjakan lebih RM3 juta projek Milleneum Park hanya untuk hias roundabout dengan burung-burung replika.
Kemudian projek bangunan 3C, itu pun lebih RM30 juta lebih dibelanjakan. Tapi tidak bermanfaat secara maksima untuk masyarakat Subang Jaya. Jadi, orang ramai memang geram dengan situasi itu.
Kalau kita memandu di sekitar bandar Subang Jaya, kita akan dapat tengok selalu sangat mereka tukar pasu-pasu bunga di setiap jalan-jalan di Subang Jaya. Semuanya membazir. Jadi niat saya, jika saya menang kita nak pastikan kita tak akan gunakan duit rakyat untuk kerja-kerja yang membazir ini. Itu agenda saya, nak bantu urus dana PBT (pihak berkuasa tempatan), wang rakyat itu untuk tujuan yang lebih berfaedah.
Bagaimana kerjasama yang diberikan oleh pihak kerajaan tempatan setelah menjadi YB?
Ok, saya tak nafikan ada sedikit masalah. Ahli majlis sekarang berdasarkan lantikan mengikut kuota parti dan NGO. Masalahnya ada segelintir yang tidak begitu berfungsi dengan betul. Mereka tak begitu memberi kerjasama dengan MP dan ADUN. Jadi ia beri kesan kepada tugas dan tanggungjawab kita untuk rakyat.
Saya lihat ini berpunca dari rasa tanggungjawab yang kurang, kerana mereka tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya tempatan, maka mereka tidak begitu memikirkan kesan kepada rakyat secara langsung. Jika berlaku masalah seperti kelembapan mengambil tindakan, maka kita ADUN yang banyak dipersalahkan.
Apa pendirian saudari tentang idea untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan?
Saya memang menyokong pilihan raya tempatan ini. Tapi kita sedar juga tentang kerisauan orang ramai termasuk ahli parti kita sendiri kerana mereka takut jika yang menang itu orang dari parti BN. Kesannya masih sama, iaitu tak banyak yang akan berubah. Maknanya banyak kerja dan perancangan kerajaan tak dapat berjalan dengan lancar. Ini memang kebimbangan yang berasas.
Sekarang pun bila kita urus pihak berkuasa tempatan, masih ada yang tak bagi kerjasama. Jadi memang sukar dan perlukan masa untuk kaji dan laksanakan perkara ini. Kita memang mahu ia dilaksanakan, tapi isunya bagaimana kita nak elak masalah rumit itu dari berlaku.
Mungkin kita boleh buat pemilihan di peringkat Yang Dipertua atau Datuk Bandar dahulu. Untuk Ahli Majlis tidak perlu buat masa ini. Mungkin itu boleh jadi penyelesaian awal yang berperingkat-peringkat. Jadi kita harap cadangan ini dapat digerakkan pada masa akan datang.
Masalah kedua dalam hal kerjasama antara kita dan PBT ini ialah masalah pengurusan bajet. PBT selalu kata tak ada bajet untuk buat pembangunan. Mereka sebenarnya ada hasil menerusi cukai, tapi mereka cuma memperuntukkan bajet hanya 5 peratus sahaja untuk pembangunan tempatan. Jadi ia terlalu sikit.
ADUN dan MP kita tiada suara dalam PBT. YDP atau Datuk Bandar control semuanya. Namun, tidak semualah, masih ada Ahli Majlis dan YDP yang ikhlas beri kerjasama kepada kita.
Kita sudah cadangkan untuk mereka menstruktur semula bajet mereka. Kita dah minta mereka kurangkan bajet untuk program-program yang kurang memberi manfaat dan salurkan untuk tujuan pembangunan bagi masyarkat setempat, tapi mereka tak endah. Struktur perbelanjaan PBT masih seperti zaman kerajaan BN dulu, jadi nak buat pembaharuan agak payah.
Bagaiman dengan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat awam, khususnya menambah ahli dan sokongan kepada DAP?
Semua ini masyarakat dah tahu, selain masyarakat yang dah mula berubah, parti DAP juga turut berubah mengikut peredaran zaman. Ini menunjukkan DAP benar-benar ikhlas berjuang untuk semua rakyat Malaysia. Itu penting untuk ubah imej DAP sebagai parti pelbagai kaum. Apatah lagi persepsi yang dibina oleh UMNO-BN kepada DAP sangat buruk.
Apa pendapat saudari tentang sokongan golongan muda khususnya profesional Melayu, mungkin di peringkat saudari sendiri?
Memang kita akui, agak sukar nak ubah persepsi orang Melayu tentang DAP, malah kita pun tak salahkan mereka sebab persepsi ini dah dibentuk begitu lama oleh UMNO. Ia macam dah sebati.
Contohnya kawan saya sendiri, dia Melayu dan saya ajak dia masuk DAP. Bagi diri dia, dia tak ada masalah langsung, tapi masih teragak-agak bila mereka fikir tentang persepsi jiran dan keluarga mereka.
Ini jelas menunjukkan, orang Melayu memang nak berubah, tapi disebabkan propaganda UMNO itu terlalu kuat dan lama sampai mempengarahi minda keluarga mereka hingga melihat DAP sebagai parti ‘demon’, anti-Melayu dan sebagainya. Ini memang realitinya. Dan syukur, kita sekarang ada Roketkini untuk membantu mengubah persepsi buruk itu. Kita harap, ianya mampu dilaksanakan.
Bagaimana jika ada kalangan Melayu muda yang hendak membantu saudari dari segi aktiviti politik?
Bagi saya sendiri, kita memang mahukan ‘internship’ di kalangan mereka dari semua kaum. Jadi mereka boleh datang dan berbincang bagaimana kerjasama itu dapat membantu parti dan juga pelatih itu.
Cuma mereka kena faham bahawa DAP parti yang kecil, dan kita banyak beroperasi di kawasan bandar dan sub-urban yang mana kawasan campuran kaum. Jadi cabaran itu akan lebih lagi. Dan kita harap mereka ikhlas nak bekerjasama dengan kita.
Apa yang saudari harapkan untuk perubahan politik pada masa akan datang?
Pertama sekali saya amat berharap khususnya pada orang Melayu supaya jangan rasa insecure dengan DAP. Mereka kena lebih yakin. Kerana DAP parti pelbagai kaum, itu dasar dan prinsip parti dan ia tak akan berubah sampai bila-bila, kita bela nasib dan keperluan semua kaum apatah lagi kaum Melayu.
Kita jangan mudah termakan propaganda UMNO-BN tentang DAP. Mereka boleh kata apa saja yang mereka mahu kerana sekarang media milik mereka, undang-undang mereka yangg kuasai. Jadi kita kena ingat bahawa kami di DAP tidak ada kemampuan untuk semua tu.
Jadi, apa saja keburukan yang digambarkan oleh mereka biarlah dirujuk kepada DAP sendiri. Jangan mudah percaya fitnah. Tanya terus kepada DAP. Saya harap agenda DAP untuk membela nasib rakyat akan dapat difahami oleh semua warga Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan