Khamis, 4 Ogos 2011

Kontraktor Melayu kecam MCA Pulau Pinang

MCA begitu jahil sekali kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri.

 

PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMPP) mengecam MCA kerana memainkan sentimen perkauman kerana kebanyakan projek di bawah sistem tender terbuka kerajaan negeri Pakatan Rakyat negeri itu diberi kepada kontraktor Bumiputera.

Pemangku Yang Di Pertua PKMPP, Dato Izham Merican berkata Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang bersikap rasis apabila melabelkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai anti-Cina berhubung sistem tender terbuka.

“Nampaknya MCA begitu jahil sekali kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri.

“Ini termasuk yang melebihi harga RM200,000.00 dan memilih yang paling baik dari segi harga dan kualiti,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau menyoal, dengan hanya mempertikaikan pemberian kontrak kepada Melayu, adakah MCA bersifat perkauman dengan memandang rendah keupayaan kontraktor Melayu yang dianggap tidak setaraf atau sebaik dengan kontraktor lain?

Hina kontraktor Melayu 


Ujar beliau, “PKMPP menolak dengan sekeras-kerasnya sentimen perkauman MCA yang menghina kontraktor Melayu dengan persepsi negatif ini.

“MCA harus ingat bahawa dalam semua kaum ada golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, begitu juga di kalangan masyarakat Cina sendiri.

Izham menerangkan dalam sistem tender terbuka pemberian kontrak di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak mengenepikan kaum lain.

“Saya sebagai Timbalan Yang Di Pertua dan Pemangku Yang Di Pertua telah berjumpa dengan Ketua Menteri supaya membantu warga kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh Ketua Menteri.

“Ini membuktikan sikap profesional beliau kerana tidak mencampur aduk hal politik dan tidak memilih kaum untuk membantu dan selalu bercakap berdasarkan fakta dan ini amatlah disanjungi.

“Malah ahli-ahli persatuan saya amat menghargai pendekatan Ketua Menteri yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat kebenaran Ketua Bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini,” katanya.
Tegas beliau, “saya hendak mengingatkan bahawa isu penawaran kepada kaum Bumiputera tidak harus dipolitikkan dan atau dijadikan isu perkauman.

“Sebagai sebuah Pertubuhan NGO yang mempunyai ahli-ahli dari berbagai-bagai parti walau pun kebanyakannya terdiri daripada ahli parti Umno, perjuangan kami hari ini adalah menentukan warga kontraktor terbela,” tambahnya.

Katanya lagi, “hari ini banyak kontraktor yang gulung tikar dan keadaan yang dialami di dalam industri pembinaan tidak lagi seperti suatu ketika dahulu dan kami merayu kepada Kerajaan Pusat supaya dapat membantu menangani masalah ini.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Ketua Menteri yang telah pun berusaha dan telah mengatasi masalah-masalah yang dikemukakan oleh pihak persatuan.

Pembekal bukan Bumiputera


Izham menjelaskan, seperkara lagi untuk makluman sekiranya kontrak ditawarkan kepada Bumiputera, harus diingat bahawa kebanyakan pembekal-pembekal adalah bukan Bumiputera dan golongan pekerja-pekerja juga kebanyakan bukan kaum Bumiputera.


“Oleh itu, bagi tiap-tiap projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada kontraktor Bumiputera dengan cara tersendirinya memberi peluang kepada kaum-kaum lain.

“Setakat hari ini Ketua Menteri tidak pernah mengenepikan kaum Bumiputera di dalam industri pembinaan dan sebagai pemimpin beliau bersikap terbuka walaupun dicemuh oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja tidak faham akan dasar Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam blog MCA pada 29 Julai lalu, Tan mempersoalkan kenapa kontraktor-kontraktor Cina di negeri itu tidak mendapat walaupun satu projek dari Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri dan sebaliknya kesemua projek diberi kepada kontraktor Melayu, Bumiputera dan India Muslim.

Beliau merendah-rendahkan kebolehan kontraktor-kontraktor Bumiputera dengan mempertikaikan kemampuan mereka menyiapkan projek-projek yang diberi.

Tan dalam blog itu juga menuduh Lim dan DAP mengenepikan kepentingan masyarakat Cina sejak mengambil alih pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Tiada ulasan: