Umno dan rasuah
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
GESAAN dua menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan yang mendesak BPR agar lebih pro-aktif adalah satu tamparan.
Jika diikutkan Dato' Seri Mohd Nazri, BPR telah kelewatan. Kes yang sepatutnya dimulakan siasatan sejak Ogos lalu, telah mengalami pertangguhan yang boleh mencemarkan nama beliau dan pegawai-pegawai di bawah Kementeriannya.
Beliau lalu memberi tempoh sehingga 31 Disember 2003 kepada BPR untuk menyelesaikan siasatan mengenai dakwaan yang seorang individu mendapat 6,000 permit teksi.
Jika ia tidak dapat diselesaikan menjelang tarikh tersebut, beliau sendiri akan mendedahkan senarai syarikat yang menerima permit termasuk nama ahli-ahli lembaganya.
Penegasan ini ada dikeluarkan oleh Nazri dalam Berita Perdana jam 8 malam, telivisyen Malaysia pada 7 Disember 2003. Dalam NST 8 Disember pula, menteri itu dilaporkan akan meminta kabinet memecat Ketua Pengarah BPR berkenaan.
Kenyataan tegas Dato' Nordin yang menyebutkan pihaknya boleh mengeluarkan waran tangkap termasuk kepada menteri yang enggan bekerjasama rupanya menimbulkan kemarahan Umno yang amat sangat. Nah! Lihatlah gelagat mereka. Aneh, lucu dan kadang kala boleh mengaibkan.
2. Demikian juga dengan Dato' Azmi Khalid yang kelihatan berani mempersoalkan kewibawaan BPR kerana melewatkan kes penyelewengan yang melibatkan wang RM6 juta yang telah disebutkan sejak dua tahun yang lalu. (Lihat liputan Mingguan Malaysia 7 Disember 2003).
3. Kedua-dua kenyataan ini menimbulkan tandatanya kerana BPR sendiri berada di bawah Perdana Menteri. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di awal pelantikannya telah mengisytiharkan "perang yang habis-habisan terhadap rasuah". Betulkah BPR yang tidak pro-aktif? Betulkah PM betul-betul mahu memerangi gejala rasuah habis-habisan? Atau kedua-dua Menteri ini yang cuba melawan arahan PM dengan sengaja mempersoalkan kredibiliti Badan Pencegah itu?
4. Saya cuma bimbangkan amalan "selective prosecution". Kes-kes 'jerung' terlepas manakala 'anak seluang dan bilis' akan menjadi makanan.
Rakyat Malaysia masih tidak lupa dengan kes-kes besar seperti penyelewengan wang dalam Perwaja Steel sebanyak RM10 bilion, kes Datuk Seri Rafidah Aziz, kes dakwaan rasuah bekas Ketua Pengarah EPU, kes Tajuddin Ramli di sekitar Mas Kargo, kes Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dikatakan terlibat mencampuri urusan di Jabatan Imigresen, kes penyelewengan wang sebanyak RM40 juta melibatkan bekas menteri, laporan polis keatas dakwaan salah laku bekas Menteri Besar Pahang yang kini menjadi Menteri Penerangan dan sekaligus menjadi Setiausaha Agong Umno atau 6 laporan polis terhadap dakwaan amalan rasuah Dato' Seri Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor. Yang terkini pula, dakwaan tentang amalan rasuah Ketua Pengarah Bomba dan Pasukan Penyelamat ketika meluluskan CFO.
Saya diberi faham, bahawa Penolong Pengarah Bomba yang bekerjasama untuk mendedahkan amalan salah laku ini, telah dengan tidak pasal-pasal dinasihatkan untuk bersara awal demi kepentingan perkhidmatan awam walaupun beliau baru berusia 48 tahun.
Mengikut laporan, antara tahun 1998 hingga 2002, dari 1,342 orang yang ditangkap di bawah kes rasuah, 50 peratus daripadanya adalah terdiri daripada penjawat awam (NST 13 Ogos 2003).
Saya risau, jangan-jangan yang menjadi mangsa terkini hanyalah penjawat-penjawat awam. Saya jangkakan, nilai wang yang terlibat masih dikira minimum secara berbanding dengan kes-kes penyelewengan gergasi yang melibatkan pemimpin-pemimpin politik nasional serta kroninya.
Lihatlah betapa lucunya tindakan-tindakan yang ada di sekitar pembanterasan rasuah di bawah kepimpinan PM yang baru. Tidak syak lagi,ia adalah lanjutan pesaka lama dari Perdana Menteri yang sebelumnya.
5. Amalan pendakwaan terpilih yang saya kira amat memalukan ini sangat mengkhianati konsep "good governance". Keutuhan, integriti dan ketelusan sangat berkait rapat dengan amalan kerajaan yang anti rasuah. Menangani rasuah bukan sekadar berslogan tetapi melibatkan usaha yang jujur, komited dan konsisten.
Sebagaimana saya banyak kali mengisytiharkan mana-mana pejabat di negeri ini terbuka kepada siasatan BPR 24 jam, sebegitulah juga saya mengharapkan pendirian pemimpin-pemimpin UMNO dan BN selaku kerajaan di peringkat pusat.
6. Saya lihat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sangat suka membuat pengisytiharan. Sebelum pengisytiharan memerangi rasuah, beliau juga diperhatikan pernah mengisytiharkan untuk memerangi najis dadah habis-habisan.
Malulah sedikit kepada Kerajaan Thailand yang bercakap untuk memerangi dadah dan benar-benar memburu pengedar-pengedar dan penagih. Sebaliknya, kita cuma ghairah membuat pengisytiharan tetapi seakan-akan tidak tahu apa yang hendak dibuat selepas pengisytiharan.
7. Saya perhatikan hampir menjadi kebiasaan di Malaysia, bahawa anak-anak pemimpin Besar akan menjadi jutawan muda. Perhatilah di sekeliling tuan-tuan dan puan-puan sekalian. BPR harus jujur dalam memburu mereka. Carilah 'nangka' dan lihat-lihatlah tangan siapa yang berlumur getah. Maklumat kadang kala cukup jelas tetapi soal mahu tidak mahu saja untuk bertindak.
8. Keadaan ini selalu mengingatkan saya tentang lafaz Nabi Muhammad S.A.W. bahawa "Jika takdir Fatimahlah yang mencuri, maka nescaya akan aku potong tangannya. "Ini menjadi ujian kepada keikhlasan pemimpin walau di mana.
9. Amalan memilih bulu dalam bertindak menjadi punca ketegangan, perasaan iri hati, sakit hati dan tidak puas hati di kalangan rakyat. Mereka cuma menuntut janji Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ditepati. Undang-undang sudah ada. BPR sudah ada. Penguatkuasa sudah ada.
Bukti-bukti yang mencukupi pun nampaknya sudah lebih dari ada. Dato' Seri Nazri dan Dato' Azmi Khalid pun telah membuat gesaan di tengah-tengah pengisytiharan PM itu. Apa lagi? Tidak cukupkah lagi? Tindakan untuk menangkap mereka yang rasuah telah melebihi merit keutamaan. PM yang baru perlu menunjukkan kesungguhan dalam tempoh 100 hari berada di kerusi Perdana Menteri. Jika ini tidak juga dapat dilakukan, maka "Abdullah" hanya akan menjadi satu lagi nama. "He's just another Prime Minister"!
10. Ini yang menjadikan majlis-majlis ceramah yang dianjurkan oleh PAS dan BA selalu menghadapi gangguan. Permitlah, FRUlah, sekatan jalan rayalah, premislah, tempat ceramahlah, akta itu dan akta inilah. Sebenarnya Umno sangat takut akan terdedah skandal-skandal penyelewengan. Keadaan menjadi lebih tegang apabila fakta-fakta dan kenyataan selalu disembunyikan. Ini di tambahkan lagi dengan peranan media yang turut menjadi instrumen dalam usaha-usaha penggelapan maklumat.
11. Sesungguhnya, Umno tidak boleh bertahan lama dalam pendekatan ini. Dalam konteks sebuah keluarga misalnya, anak-anak juga perlu diberi hak untuk memberikan pandangan tentang ibubapa. Jangan asyik "tak boleh" dan "tutup mulut kamu".
Jika keadaan ini diteruskan juga, maka rumahtangga itu akan hidup dalam kegelisahan. Lambat laun ibubapa itu akan ditolak kepimpinannya oleh anak-anak. Malaysia pun, demikianlah. Kegelisahan rakyat perlu diberi ruang. Faham demokrasi telah lama menyediakan saluran-saluran ini.
Cuma Umno saja yang merampas dan mengkhianatinya. Demokrasi ala- Malaysialah. Demokrasi mengikut acuan sendirilah. Sebab itu, warga negara Malaysia sering mengeluh dengan sindiran, "ya lah tu, ya lah. Suka hatilah ".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan