Isnin, 5 September 2011

PRU13 : BN/UMNO bakal jadi pembangkang.


Kenapa BN/UMNO bersusah payah sangat nak jadi pembangkang?

Jelas, pilihanrayua semakin hampir. Banyak isu yang dipaparkan oleh pihak parti kerajaan sekarang memberikan bayangan yang kuat yang pilihanraya sudah hampir tiba dan ada pandangan yang menyatakan pilihanraya akan di adakan pada penghujung tahun ini juga.

Keputusan untuk memanggil pilihanraya ada di tangan UMNO khususnya kepada Presidennya yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Jika pilihanraya diadakan pada bulan November ianya merupakan penggal yang terpendek ia itu 3 tahun lapan bulan. Dalam sejarah pilihanraya negara penggal 1978 ke 1982 merupakan penggal yang hanya 3 tahun 8 bulan juga.

Keadaan ekonomi global yang dijangka akan bertambah buruk menyebabkan kemungkinan penggal pilihanraya kali ini akan menjadi penggal yang pendek kerana BN tidak mahu terjebak dalam situasi ekonomi global serta negara kita yang lebih buruk semasa pilihanraya nanti. Faktor ekonomi merupakan salah satu faktor terpenting dalam menentukan tarikh pilihanraya negara.

Oleh kerana desakan untuk mengadakan pilihanraya terawal yang mungkin maka BN yang belum lagi berkeyakinan tentang sokongan rakyat nampaknya menggunakan apa sahaja isu yang mereka anggap boleh melemahkan pihak pembangkang yang kian kuat dan kehadapan semasa ini.

Isu yang sedang di mainkan oleh pihak parti kerajaan khususnya UMNO, ialah isu komunis dan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS. Isu meng-komuniskan Mat Sabu itu dianggap isu yang terbaik bagi UMNO untuk mengurangkan pengaruh PAS. UMNO tidak mampu untuk mendapat sokongan rakyat melalui rekod dan menampilan cemerlang. Oleh itu UMNO mengambil jalan dengan cara ‘discredit’ pembangkang dan pemimpinnya.

Ucapan Mat Sabu di Tasek Gelugor beberapa hari yang lepas dianggap yang terbaik untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu yang sangat besar yang sedang dihadapi oleh UMNO dan BN sekarang ini, iaitu isu persepsi rasuah yang menebal dan telah menjadi stigma yang kekal kepada UMNO dan BN. Isu ‘Mat Sabu dan komunis’ yang tidak menesabah ini juga diharapkan oleh UMNO untuk memalingkan pandangan rakyat terhadap isu kenaikan harga barangan keperluan yang terlalu mahal pada masa ini.

Kalau diteliti ucapan Mat Sabu yang telah direkodkan di Tasek Gelugor itu tidak ada sepatah pun isu komunis di sebut oleh Timbalan Presiden PAS itu. Tetapi Utusan telah menulisnya dengan besar di dalam akhbar harian itu semata-mata untuk discredit PAS yang sedang mengembang pengaruhnya di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Saya selalu menyebut di dalam tulisan saya di dalam blog saya ini yang segala isu yang ditimbulkan oleh UMNO merupakan isu yang ‘counter productive’ kepada BN dan UMNO. Semua isu yang dimainkan oleh UMNO akhir-akhir ini merupakan isu yang ‘self defeating’ bagi parti pemerintah ini. Semakin hari rakyat semakin celek tetapi UMNO terus terusan menggunakan isu yang memakan diri mereka sendiri.

Rata-rata orang ramai berpendapat yang UMNO tidak mungkin berjaya untuk mendapat sokongan tambahan melalui rekod yang baik untuk parti itu. Isu Mohamad Sabu ini merupakan isu yang UMNO anggap terbaik untuk memalingkan pandangan rakyat dari isu transformasi ekonomi dan politik yang tidak ada tanda-tanda kejayaannya. Pelan transformasi ekonomi tetap dan masih berada di dalam lab yang dihuni oleh Idris Jala di Jabatan Perdana Menteri.

Isu Mohamad Sabu ini juga diharapkan oleh UMNO untuk menutup segala kesalahan dan kesilapan pihak pemerintah dalam menangani isu Bersih 2.0 dua bulan yang lepas. Bak kata Dr Mahathir, UMNO sudah rosak sampai ke ususnya. Jika kata-kata seperti ini yang datangnya dari seorang bekas pemimpin negara yang di anggap besar oleh pengikutnya tentulah ianya satu pandangan yang sangat berasas, apatah lagi Dr Mahathir merupakan pengasas kepada parti UMNO yang ada pada hari ini.

Hari ini Utusan telah meminta semua pihak menolak PAS sedangkan Utusan itu sendiri telah ditolak oleh pembaca dan kini Utusan hanya mempunyai pembaca tidak lebih dari seratus ribu sehari. Cara Utusan melakukan serangan yang merapu terhadap Mohamad Sabu itu seolah-olah meminta semua pihak melupakan kes rasuah di dalam kerajaan UMNO dan semua kes salah guna kuasa yang berlaku begitu serius di dalam pentadbiran BN pada hari ini.

Isu komunis yang diputar belitkan oleh Utusan ini juga mungkin menjadi isu yang paling akhir sebelum pilihanraya yang akan datang ini. Jika Utusan ingin menjadi akhbar yang ber intregiti akhbar ini mesti juga lah membesarkan isu rasuah yang secara sistematik yang dilakukan oleh parti-parti di dalam BN khususnya UMNO.

Rasuah dilakukan secara sistematik melalui projek-projek infra struktor dilaksanakan secara ‘negotiated tender’ yang begitu maha untuk dibayar oleh rakyat. Semuanya ini merupakan tindakan yang memerah rakyat yang sudah menjadi ketagihan kepada pemimpin-pemimpin UMNO sekarang ini.

Jika Utusan sebenarnya bertanggungjawab ianya mestilah secara terbuka yang rasuah boleh di cegah kerana kerajaan Pulau Pinang telah berjaya mengelakan dari ketirisan dalam urusan mengurus wang rakyat dan telah memberikan keuntungan kepada rakyatnya yang berbilang kaum itu.

Kenapa Utusan tidak mengenengahkan kejayaan P Pinang yang melaksanakan pentadbiran secara ‘transparent’ tanpa berat sebelah kepada mana kaum dan agama.. Contohnya banyak kotraktor Bumiputra berjaya mendapatkan tender secara terbuka. Kerajaan P Pinang tidak memilih bulu, siapa yang ada meritnya dialah yang berjaya mendapatkan projek-projek kerajaan negari itu.

Di sebaliknya UMNO yang dikatakan berjuang untuk Melayu itu hanya menggunakan isu keistimewaan Melayu itu untuk kroni-kroni dan pengampunya dan ramai kontraktor bumiputra tidak mendapat apa-apa kerana segala projek yang hendak di laksanakan sudah ditentukan siapa yang akan mendapatnya, dan selalunya hanya kroni-kroni nya sahaja yang akan mendapatkannya. Kontraktor Melayu yang tidak masuk dalam senarai kroni hanya menganga denagn air lior meleleh hingga ke dagu.

Saya pernah menulis yang UMNO itu hanya untuk beberapa orang yang eksklusif sahaja. Ahli-ahli yang ramai itu hanya dijadikan seperti kerbau-kerbau di sawah, gunanya hanyalah untuk membajak sawah dan hasil padinya dibaham oleh tikus-tikus yang liar di dalam kepok padi sahaja.

Melayu yang lain hanya mendapat sekam-sekam padi sahaja dan itulah yang digunakan oleh pemimpin kita untuk memujuk orang Melayu menyokong mereka melalui subsidi gigi palsu, lembu pawah, kambing pawah dan berbagai-bagai lain yang tidak bernilai untuk rakyat yang memerlukan peluang untuk membangun bagi berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di antara kaum di negara kita ini.

Sekarang pilihanraya hampir tiba dan jika kerajaan yang memerintah benar-benar sebuah kerajaan yang adil di dalam pilihanraya kali ini, peluang untuk semua parti untuk mendekati rakyat melalui media masa perdana wajar diberikan kepada pembangkang juga. Jika ini diberikan, maka peluang untuk sesiapa untuk memfitnah dan berbohong dengan rakyat akan dapat dikurangkan. Rakyat perlu diberikan ‘accessibility’ yang seadil-adilnya kepada semua pihak.

Yang terlalu berkurangan bagi pihak BN ialah kejayaan yang benar-benar ‘organic’ dalam melaksanakan dasar-dasar dan perancangan serta transformasi ekonomi dan politik negara yang dijanjikan oleh BN sekarang ini. Kejayaan perancangan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini tidak nampak lagi kejayaannya maka untuk menutupi malu pihak pemerintah bertindak menyerang parti-parti pembangkang habis-habisan dengan isu-isu yang mengarut.

Serangan BN itu seperti serangan parti yang membangkang. Kenapa begitu? Kenapa mengambil ‘attribute’ parti yang membangkang….menghina pihak lain di mana-mana. Parti pembangkang pun tidak berbuat demikian.

Tindakan defensif sambil menyerang secara ‘offensive’ yang dulunya dilabelkan oleh BN sebagai sifat pembangkang, kenapa pula BN melakukan perkara yang sama?

Kalau BN bersikap seperti pembangkang semasa masih berkuasa, adakah itu tanda-tanda awal yang BN akan menjadi pembangkang selepas pilihanraya nanti? Kenapa bersusah payah sangat nak jadi pembangkang?

Ramai juga rakyat yang mahu melihat UMNO duduk di kerusi pembangkang di Dewan Parlimen dan Dewan-Dewan Lagilatif di negeri-negeri. Ibarat main gasing: kalau dah selalu memangkah kali ini elok juga mengambil giliran untuk memusing gasing.

Biarlah pihak lain pula mengambil giliran untuk memangkah.

Tiada ulasan: