Isnin, 5 September 2011

TUN MAHATHIR MUDAH LUPA...


Ucapan Mahathir Sempena Majlis Perujian Al-Quran Peringkat Kebangsaan


Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir dalam Majlis Ujian Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 yang diadakan di Negeri Johor pada malam ini.

2. Al-Quran seperti yang kita semua maklum ialah kitab suci yang menjadi rujukan dan panduan hidup dan mati kita. Sebagai umat Islam kita sewajarnya sentiasa mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya mudah-mudahan dengan itu hidup kita akan selamat sejahtera. Majlis Ujian Membaca Al-Quran memberi peluang kepada kita bukan sahaja mendengar ayat-ayat Al-Quran dibaca tetapi juga memahami maksud ayat-ayat ini melalui terjemahan dan tafsiran yang diberi bersama.

3. Ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dipertikaikan, diubah atau dimansuhkan. Tetapi kefahaman kita terhadap ayat-ayat ini bergantung kepada pentafsir, yang terdiri daripada manusia biasa yang tentu tidak
sunyi daripada kesilapan walaupun amat alim dan arif. Oleh kerana ini terdapat tafsir-tafsir yang berlainan dan kadang-kadang bertentangan berkenaan ayat yang sama. Demikianlah kelainan ini sehingga ia dapat memecah-mecah umat Islam kepada mazhab, tarikat dan kumpulan-kumpulan yang begitu berlainan fahaman akan ajaran Islam sehingga mereka sering tuduh-menuduh antara satu sama lain dan bermusuh pun.

4. Amatlah sedih apabila kita lihat di waktu umat Islam sedang menghadapi serangan oleh musuh, ada orang Islam yang sanggup membunuh orang Islam lain kerana perbezaan fahaman berkenaan ajaran Islam. Sudah tentu yang mendapat manfaat adalah musuh Islam. Dengan perkataan lain orang Islamlah yang sebenarnya menolong musuh untuk menjayakan hasrat mereka.

5. Al-Quran memberi panduan kepada penganut agama Islam secara menyeluruh supaya Islam benar-benar menjadi cara hidup. Tetapi biasanya banyak ayat dan isi kandungan Al-Quran tidak mendapat perhatian yang seimbang. Ada ayat-ayat yang diutamakan dan ada yang seolah-olah diketepikan. Dengan itu kita tidak mendapat panduan dan nikmat sepenuhnya daripada kitab suci ini.

6. Tekanan yang diutamakan adalah kepada ibadat tertentu, seperti solat dan berpuasa yang mana ditokok tambah dengan banyak amalan lain mengikut mazhab dan fahaman pihak tertentu yang membuat tafsiran dan memimpin agama. Selain daripada itu terdapat tumpuan kepada ilmu fekah dan penentuan tempat wanita dalam masyarakat. Yang amat digemariialah hukum-hukum ke atas orang yang salah terutama wanita, yang dianggap sebagai punca segala keburukan yang berlaku dalam masyarakat.

7. Bahagian dan ayat-ayat Al-Quran yang mengutamakan keadilan tidak dianggap sama penting dengan proses pengadilan yang dikehendaki oleh agama Islam. Bahawa proses pengadilan adalah untuk menentukan keadilan berlaku juga tidak dianggap penting. Kalau pun keadilan tidak berlaku, ia dianggap menepati ajaran Islam kerana proses telah diikuti. Soalnya ialah apakah proses atau prosedur tertakluk kepada keadilan atau keadilan tertakluk kepada proses? Al-Quran menegaskan bahawa apabila menghukum, hukumlah secara adil. Tidak ada disebut dalam Al-Quran bahawa keadilan tidak penting atau proses penghakiman dan prosedur lebih penting.

8. Di zaman ini kita mempunyai cara saintifik untuk menentukan siapa yang melakukan kesalahan. Dengan menggunakan DNA dan cara-cara lain kita boleh kenal pasti siapa pesalah. Umpamanya jika anak yang dilahir setelah wanita dirogol, mempunyai rupa yang sama dengan perogol, apakah kita akan menolak juga tuduhan terhadap perogol? Apakah adil jika kita terus menuduh mangsa rogol membuat tuduhan yang tidak berasas, mengenakan sebatan dan merejam dengan batu kerana melahirkan anak di luar nikah sedangkan pemeriksaan DNA mengesahkan yang dituduh merogol adalah bapa kepada anak berkenaan? Apakah adil hukuman kita? Apakah ia menepati kehendak Islam seperti yang disebut dalam Al-Quran iaitu "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil" ?

9. Ulama yang meneliti ajaran Islam melalui Al-Quran dan hadis yang sahih perlu membuat penjelasan supaya agama Islam tetap sesuai dengan keadaan di zaman ini. Sepertimana juga kita boleh melakukan kerja haji tanpa menggunakan unta atau keldai atau kuda dalam perjalanan kita, jika kita junjung keadilan yang dituntut oleh agama Islam, kita juga tidak boleh ketepikan bukti yang jelas yang dibentangkan kepada kita di zaman ini. Mustahil Al-Quran dan Hadis tidak dapat memberi panduan kepada kita jika kita rujuk kepada ayat-ayat dan hadis-hadis yang sahih yang menjadi punca dan asas ajaran Islam dengan mengambilkira ilmu di zaman ini. Kita tidak boleh kembali ke abad pertama Hijrah untuk menjadikan Islam sebagai Ad-din.

10. Kita sembahyang mengikut waktu yang telah diperkirakan awal-awal lagi. Kita tidak melihat benang di waktu subuh atau fajar menyinsing, atau jatuhnya matahari. Tiap hari kita sembahyang waktu kita ikut natijah yang disediakan setahun dahulu. Kita tidak soal samada waktu sembahyang tepat atau tidak. Tetapi ada tempat-tempat di dunia di mana timbul dan jatuhnya matahari tidak dapat dilihat sama sekali. Sebaliknya ilmu sains dapat menentukan waktu matahari naik dan waktu matahari turun. Apakah kita akan tolak sahaja perkiraan yang berasas kepada ilmu sains?

11. Hakikatnya ialah banyak yang terdapat di zaman ini tidak terdapat 1400 tahun dahulu. Namun demikian jika diteliti betul-betul kandungan Al-Quran dan hadis dan dirujuk juga kepada pakar dalam ilmu yang ada kaitan dengan masalah yang hendak ditentukan, tidak dapat tidak panduan ajaran Islam berkenaan dengan masalah berkenaan dapat dicapai. Bukan panduan dalam Al-Quran yang tidak ada, tetapi kelemahan kita yang menyebabkan kita tidak dapat menentukan panduan ini.

12. Alhamdulillah walaupun di zaman Rasulullah darah tidak pernah dimasukkan dalam tubuh manusia (blood transfusion) ulama bersama dengan pakar perubatan telah membuat ketetapan bahawa prosedur ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Demikian juga pemindahan organ dari seorang kepada orang yang lain. Ramai sudah pesakit buah pinggang yang sekarang masih hidup kerana pemindahan buah pinggang. Dan banyaklah lagi fatwa yang dibuat yang berasas kepada Al-Quran dan Hadis bagi menyelesaikan masalah dan keraguan yang timbul di zaman ini yang tidak ada di waktu Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah. Kuasa elektrik dan kereta bermotor pada mulanya diharamkan oleh ulama Islam. Demikian juga gambar manusia dan binatang. Tetapi hari ini fatwa-fatwa ini tidak diterima lagi.

13. Jika ulama berpendapat bahawa jika sesuatu tidak disebut dengan tepat dan jelas dalam Umul Kitab dan Hadis maka ianya ditegah maka banyaklah yang terdapat sekarang ini di sekeliling kita yang akan diharamkan. Sebaliknya ada ulama yang berpendapat jika sesuatu itu tidak dilarang secara khusus, walaupun ianya buruk dan keji maka ia boleh dihalalkan. Dengan itu berlakulah kezaliman dalam masyarakat Islam yang tidak sepatutnya berlaku, yang memberi imej buruk kepada agama Islam.

14. Sudah tentu fatwa yang dibuat tanpa kajian dan persetujuan alim ulama secara tersusun dan teratur dengan berpandu kepada Al-Quran dan Hadis dan mengambilkira penjelasan oleh pakar-pakar dalam bidang berkenaan akan mengelirukan dan merugikan umat Islam. Demikian pendapat bahawa hanya penguasaan ilmu agama sahaja yang memberi pahala dan penguasaan ilmu-ilmu lain tidak mendapat ganjaran yang sama telah menyebabkan umat Islam ketinggalan zaman, menjadi lemah, mudah terpedaya dan dikuasai oleh orang lain. Benarkah orang yang mempunyai ilmu yang boleh menyelamatkan agama Islam dan orang Islam tidak mendapat ganjaran yang sama dengan mereka yang mempunyai ilmu agama? Apakah akan jadi jika semua orang Islam mengejar hanya ilmu agama sahaja untuk mendapat ganjaran atau pahala yang kononnya dijanjikan sehingga tidak ada siapa yang tahu dan mampu menjaga keselamatan agama Islam dan orang Islam? Jika memberi air kepada anjing yang dahaga pun mendapat pahala, tidakkah orang yang menyelamatkan umat Islam dan agama Islam juga mendapat pahala?

15. Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan merujuk kepada Al-Quran dan Hadis kerana kekeliruan berkenaan dengan apa yang disuruh dengan apa yang ditegah oleh agama mempengaruhi cara hidup kita, dan menentukan samada orang Islam dan agama Islam, hidup dan subur atau tidak.

16. Ujian Membaca Al-Quran bukan untuk memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran dibaca sahaja. Ia adalah satu usaha untuk mendekatkan kita umat Islam kepada Al-Quran dan isi kandungannya. Memang sukar bagi orang Islam biasa mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran. Itu adalah tugas ulama, orang yang alim dalam bidang agama. Tetapi terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang dapat menjadi panduan kepada kita semua tanpa dikelirukan kerana tafsiran-tafsiran yang berbeza. Jika kita jadi keliru, kita dapat balik kepada ayat-ayat yang jelas ini dan kita akan kembali tenang dan beriman yang kuat. Orang-orang Islam tidak akan bermusuh sesama sendiri.

17. Inilah sebabnya Kerajaan mengadakan Ujian Membaca Al-Quran tiap tahun. Tidak siapa boleh menafikan bahawa membaca Al-Quran telah berjaya meningkatkan pengetahuan agama di kalangan orang Islam di Malaysia dan menjadikan mereka lebih terbuka dalam pandangan mereka terhadap perkembangan di zaman moden ini. Samada ini berlaku atau tidak, banyak bergantung kepada alim ulama yang tidak ada kepentingan lain.

18. Dengan lafaz Bismillah Hirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Perujian Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 bagi Tahun 1424H / 2003M di Negeri Johor Darul Takzim.

Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber - Pejabat Perdana Menteri

Tiada ulasan: