Khamis, 28 April 2011

Video Lucah : Anwar tak perlu sumpah mubahalah - Harussani

Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melakukan sumpah mubahalah berhubung dakwaan rakaman video seks, oleh tiga “Datuk T”, yang mengaitkan dengan diri beliau.

Ini kerana jelas Mufti Perak, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman kerana pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” masih belum dibuktikan lagi.

Tegas, Harussani, sebarang tuduhan atau pendakwaan terhadap Anwar perlu dilakukan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai termasuk sumpah mubahalah.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik akhbar arus perdana baru-baru ini, agar Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ekoran tuduhan “Datuk T” terhadapnya. Asri dipetik berkata Anwar perlu bersumpah seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tiga tahun lalu.

Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Malah ketiga-tiga individu itu telah membuat pengakuan secara terbuka dan akan mengambil tanggungjawab selain bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang.

Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa “Datuk T”.

Malah sebelum ini Shuib juga mencabar Anwar supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks itu.

Tambah Harussani, sekiranya Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ia tidak boleh membuktikan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam tuduhan itu.

“Sumpah mubahalah ini tak perlu buat depan orang ramai, kalau nak buat di mahkamah.

“Kalau buat depan orang ramai tidak boleh pakai kerana keputusan hanya dibuat di mahkamah sahaja... kalau buat kepada orang ramai, apa yang mereka boleh buat?” soalnya.

Dalam pada itu, Asri berkata laporan sesetengah media yang mengatakan bahawa beliau meminta Anwar bersumpah mubahalah kurang tepat.

“Saya menjawab menyatakan Datuk T wajar bersumpah mubahalah, isu video itu tidak membabitkan diri mereka.

“Cumanya jika mereka buat juga, bagi mengelakkan salah sangka masyarakat, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menyebut wallahi, wa billahi, wa tallahi, menafikan hal itu,” kata bekas mufti Perlis ini.

Kata beliau, sekurang-kurangnya langkah itu dapat menghilangkan salah sangka sesetengah pihak.

“Pun begitu, terpulang kepadanya, tiada paksaan,” kata beliau lagi.

Jelas Asri, mubahalah menyebut laknat ke atas diri dan jika tidak disebut maka ia adalah sumpah biasa.

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dia boleh buat mubahalah, terpulang kepadanya. Jika dia buat, kesannya besar kepada diri dan rakyat,” tambah beliau.

Tiada ulasan: