Menurut fakta terbaru tanah milik Melayu di Daerah Timur Laut hanya 1.16 peratus, Balik Pulau (15.07 peratus), Seberang Perai Utara (44.20 peratus), Seberang Perai Tengah (23.55 peratus) dan Seberang Perai Selatan (18.09 peratus). Ia menjadikan keseluruhan tanah milik Melayu di negeri ini cuma 20.41 peratus.
Kajian mendapati 7,000 orang Melayu akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka kini dibina di atas tanah milik bukan Melayu seperti Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Binjai, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas.
Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, apa mereka buat untuk memajukan orang Melayu, mempertahankan hak mereka, membina kekuatan orang Melayu dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi? Masalah Melayu Pulau Pinang telah diseminar dan didiskusikan oleh ahli-ahli akademik sejak berdekad yang lalu.
Sudah berpuluh resolusi dihasilkan, semuanya sampai ke tangan para pemimpin Umno negeri yang pada waktu itu menjadi Exco dan Menteri. Apa langkah yang mereka ambil? Hanya selepas Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (yang dikatakan kerajaan DAP) barulah Umno terhegeh-hegeh nak mendedahkan isu Melayu Pulau Pinang yang merempat di bumi sendiri.
PAS sebagai pembangkang di Pulau Pinang adalah pihak yang lantang memperjuangkan hak Melayu Pulau Pinang yang terlepas satu persatu. Sewaktu tahun 70an PAS telah mempersoalkan perkampungan Melayu di Tanjung yang terhapus satu persatu, bertukar milik kepada pihak lain.
Sewaktu Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri, terdapat cadangan supaya Masjid Negeri dibina di Padang Kota sebagai mercu tanda Islam di Pulau Pinang. Cadangan dibantah keras oleh Gerakan dan MCA kerana tidak mahu simbol Islam kelihatan di pintu masuk Pulau Pinang. Umno hanya menurut macam orang bodoh. Masa itu tindakan Gerakan dan MCA bukan rasis. Jika isu masjid pun Umno tidak mampu hadapi, macam mana nak perjuangkan isu hak Melayu Pulau Pinang.
Isu orang Melayu tinggal di atas tanah yang bukan milik mereka, bukan perkara baru. Juga disentuh oleh penceramah PAS lebih 30 tahun lalu. Lebih dari 7,000 orang Melayu yang sudah terusir. Bekas tapak rumah mereka kini menjadi kompleks perniagaan dan hotel yang berderetan dari Padang Kota Lama hingga ke Tanjung Tokong, dah jadi milik orang lain. Umno hanya melihat dengan mata putih, apa mereka buat atau apa mereka boleh buat?
Jika sekarang baru Umno membawa isu 7,000 orang Melayu bakal terusir dari rumah yang mereka duduki kerana berada di atas tanah milik orang lain, maka ia tidak lebih dari cerita zaman P. Ramlee yang diputar semula. Ia sama sekali bukan angkara DAP kerana tanah orang lain yang mereka duduki itu bermula dari zaman BN dahulu. Ia berlaku kerana kemiskinan orang Melayu, tidak bertanah dan menumpang di atas tanah orang.
Kemunduran Melayu Pulau Pinang adalah kerana kegagalan Umno sebagai penguasa (dalam tempoh yang panjang) memperjuangkan nasib mereka. Umno lebih selesa ajar Melayu Pulau Pinang main boria dari meneroka peluang-peluang ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan