Awang Selamat : BN jangan ‘terlalu pemurah’ layan masyarakat Cina
April 17, 2011
KUALA LUMPUR, 17 April — Akhbar milik Umno, parti teras Barisan Nasional (BN), hari ini menggesa perikatan itu supaya tidak terlalu “pemurah” dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak semalam.
Mingguan Malaysia, yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.
BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.
Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini. Begitu juga undi popular diperoleh BN semalam berbanding lima tahun lalu.
“Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud.
“Awang berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi. Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP,” kata Awang Selamat dalam ruangannya di Mingguan Malaysia hari ini.
Kata Awang Selamat, banyak pengajaran perlu diambil oleh BN selepas ini termasuk dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Sekali lagi, sikap pengundi Cina semakin jelas terus menolak BN. Awang percaya, sentimen pengundi Cina di Semenanjung juga masih sama.
Akhbar itu juga mahu BN tidak mengharapkan sesuatu yang samar, malah mungkin boleh memakan diri.
Sebaliknya kata Awang Selamat, BN perlu merangka strategi baru tanpa mengharapkan pengundi Cina akan kembali menyokong parti itu.
“Itu risiko besar maknanya. Usahlah dirayu dan dipenuhi segala permintaan jika akhirnya sokongan tetap kepada DAP.
“Biarlah sokongan itu secara natural datang sendiri. Jika pun pengundi Cina terus menolak BN, janganlah bimbang, akan ada jalan keluarnya,” katanya lagi.
Tulisan Awang Selamat pergi ke depan satu langkah dengan berkata, keputusan pilihan raya Sarawak kemungkinan besar boleh berulang pada pilihan raya umum.
Oleh itu katanya, BN mampu memerintah tanpa sokongan kaum Cina walaupun senario itu mahu dielakkan.
“Yang penting ialah memperkasakan lagi golongan pengundi yang menjadi penyokong setia. Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung keciciran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan