Rabu, 20 April 2011

ADUN Buntong Dakwa Kerajaan Perak Tipu Status

ADUN Buntong, A Sivasubramaniam mendakwa Kerajaan Negeri Perak dibawah pemerintahan Umno Barisan Nasional menipu kira-kira 200 penduduk setinggan Kampung Chakedi, Buntong berhubung status penempatan mereka seperti yang dijanjikan parti itu sewaktu kempen pilihanraya sebelum ini.

Sivasubramaniam berkata, beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat seolah-olah sengaja mempertaruhkan nyawa rakyat dengan menempatkan mereka berdekatan dengan kawasan pembuangan bahan radioaktif dan dikhaskan sebagai Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Negeri Perak.

”Semua ini dirancang semata-mata untuk memperdaya dan menipu rakyat dengan menabur pelbagai janji manis sewaktu menghadapi pilihanraya, namun bila kemenangan sudah diraih penghuni setinggan ini dilupakan tanpa sebarang penjelasan lanjut dari Kerajaan Negeri Perak”

Kawasan penempatan setinggan yang terletak berhampiran pekan Papan ini diberikan oleh kerajaan negeri semasa kempen pilihanraya yang lalu semata-mata untuk menyelesaikan masalah setinggan Buntong, bagaimanapun tidak dimaklumkan lokasi sebenar dimana mereka bakal dipindahkan.

Tv Selangor turut difahamkan penduduk turut naik berang apabila mengetahui bahawa mereka akan dipindahkan bersebelahan dengan kawasan pembuangan sisa radioaktif sekali gus membantah sekeras-kerasnya usaha kerajaan ini yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi kepentingan politik.

Katanya, selain berisiko tinggi kawasan tersebut juga bakal mengancam keselamatan penduduk kawasan terbabit.

Menurut Sivasubramaniam, beliau turut mendesak kerajaan negeri supaya memberi penjelasan teperinci dalam memastikan hak rakyat mendapat pembelaan.

”Walau apa pun yang terjadi, jangan biarkan nyawa rakyat terancam.

Oleh itu Kerajaan Negeri Perak mestilah mengatakan pendirianya terhadap penempatan semula setinggan di kawasan itu dan jika berlaku sebarang kejadian yang tidak dingini pihak berwajib harus bertanggungjawab sepenuhnya," tegasnya.

Sivasubramaniam memaklumkan ketika ini kerja-kerja pembinaan sedang rancak dilakukan di kawasan tersebut bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada ia  bertujuan untuk memperbesarkan tempat berkenaan mahupun memperkukuhkan lagi pusat pelupusan sisa pepejal itu.

Jelasnya lagi, kerja-kerja pembinaan tersebut dipercayai dijalankan oleh sebuah syarikat dari Jepun, Syarikat Asian Rare Earth (ARE) bagi menyempurnakan penanaman sisa radioaktif itu dan dijangka siap pada tahun 2014 serta akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Perak pada 2016.

Tambah Sivasubramaniam, pihaknya juga telah membangkitkan permasalahan ini pada Sidang Dewan Negeri(DUN) Perak baru-baru ini namun sehingga kini tiada maklum balas diterima dari wakil kerajaan mahupun menteri besarnya sendiri.

Tiada ulasan: