Rabu, 27 April 2011

BERBILION DUIT RAKYAT HANGUS, BARU NAJIB SEDAR

Parti Islam Se-Malaysia PAS terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru sedar tentang bahaya rasuah boleh menjejaskan pendapatan negara. Mungkin beliau baru sedar rasuah merupakan barah yang boleh membawa kehancuran negara apabila wang negara semakin mengucup, sehingga projek untuk kroni tidak boleh diberikan lagi. Kerisauan beliau mengenai perkara ini dinyatakan ketika majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Pahang di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pekan.

Ucapan Datuk Najib hendak memerangi rasuah dan ketirisan, sama seperti kita menasihat orang miskin untuk berjimat cermat. Sepatutnya nasihat berjimat ketika kaya bukan waktu miskin. Sama juga dengan nasihat Datuk Seri Najib. Jangan bercakap tentang bahaya rasuah ketika kantung negara makin kosong dan projek pun semakin kontang.

Kesan rasuah boleh merbahaya keselamatan negara kerana sempadan akan terbolos, dadah terlepas masuk, maklumat negara tergadai, projek terbengkalai kerana beri pada mereka yang tidak wibawa, kos meningkat, pendapatan negara berkurangan dan banyak lagi bahayanya.

Kerajaan Barisan Nasional gagal untuk membasmi rasuah kerana ia parti yang hidup dengan rasuah samaada pemilihan parti atau pilihanraya umum.

PAS merasa pelik, apabila kerajaan hendak memerangi rasuah, yang diburu ialah pegawai-pegawai kerajaan. Baru-baru ini 60 orang pegawai kastam Diraja Malaysia yang diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Persoalannya kenapa pemimpin-pemimpin politik yang berskala jerung tidak diburu. Selalunya yang menjadi mangsa ialah ikan bilis dari kalangan pegawai kerajaan sahaja. Isu wang PPRT RM32 juta, yang ditangkap ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sedangkan Menterinya Datuk Anuar Musa entah ke mana. Begitu juga yang ditangkap ialah Setiausaha Politik Datuk Mohd Nor Yaakob yang memiliki wang tunai RM2 juta.

Tiada ulasan: