Budaya rasuah yang semakin berleluasa di Malaysia kini berada dalam keadaan yang membimbangkan seolah-olah ia tidak dapat dibendung lagi, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Malah katanya, budaya ini juga mula menular sejak 24 tahun lalu terutamanya ketika berada dibawah pemerintahan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Nizar berkata, gejala rasuah ini bukan sahaja akan menyebabkan keruntuhan sistem pentadbiran negara malah ia turut disifatkan seperti najis.
“Budaya rasuah telah wujud dalam Negara kita sejak 20 hingga 23 tahun yang lepas. Jawatankuasa Disiplin Umno Tengku Ahmad Rhithaudden sendiri mengakuinya bahawa rasuah telah lama berleluasa di negara ini. Ini bermakna ia bermula sejak bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad memimpin negara pada ketika itu, sekali gus berkembang dan terus membiak,” katanya.
Nizar yang juga AJK PAS Pusat berkata, sebagai contoh pengalaman di Rusia dan Filipina termasuk Arab yang dahulunya mempunyai tamadun sendiri turut tumbang berikutan desakkan rakyatnya sendiri yang menolak rasuah.
“Ya, memang benar rasuah boleh menjatuhkan tamadun. Sekiranya rasuah ini tidak dibendung dan dibasmikan di Malaysia, maka kita juga mungkin akan turut sama jatuh,” katanya.
Nizar berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Rasuah Pemusnah Tamadun di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Shah Alam, semalam.
Turut serta dalam wacana tersebut adalah adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Senator Ezam Mohd Nor dan Pengasas ESQ Leadership Centre, Dr Ary Ginajar dan Zulkifli Bujang sebagai moderator dari Bernama TV.
Jelas Nizar, perubahan yang dilakukan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menukar Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Nizar berkata, tindakan tersebut sedikitpun tidak memberi apa-apa kesan yang baik seperti mana yang dijanjikan kepada rakyat.
“Apabila penerajuan SPRM diambil, rakyat Malaysia dijanjikan dengan satu paradikma baru dimana amalan bukan sahaja akan dikurangkan malah ia akan terus dibasmi," katanya.
"Malangnya, apa yang kita lihat sekarang indeks rasuah semakin hari semakin menurun dan terus menurun," ujarnya.
“Janji yang ditaburkan kepada rakyat selepas Parlimen meluluskan Akta SPRM dan jawatankuasa ditubuhkan ia bukan sahaj gagal malah rasuah terus berleluasa,” tegasnya.
Mengulas lebih lanjut, Nizar berkata sewajarnya SPRM dan Peguam Negara tidak berada di bawah nasihat Perdana Menteri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno.
Soalnya, bagaimana mungkin kedua-dua badan itu boleh menyiasat perkara yang menyentuh kepentingan politik pemimpin-pemimpin Umno-BN.
Tegasnya, oleh yang demikian, Pakatan Rakyat meminta semua agensi kerajaan seperti SPRM, Peguam Negara, Ketua Polis, Pengerusi Felda, Petronas dan sebagainya haruslah dilantik oleh dan diletakkan di bawah Parlimen.
Menjawab soalan sama ada PAS ingin meniru bentuk kebangkitan rakyat di negara luar untuk melakukan demontrasi jalanan sehingga tertumbangnya pemerintah zalim, Nizar dengan tenang menidakkannya.
"Pakatan tidak pernah meminta rakyat untuk meniru kebangkitan rakyat sehingga jatuh beberapa negara terbabit kerana rasuah dan salah laku.
"Rakyat inginkan perubahan dalam hal-hal berkaitan rasuah, contohnya, kenapa hanya ikan bilis sahaja yang terkena siasatan dan hukuman sedangkan bagaimana dengan isu Khir Toyo dan Taib Mahmud," ujarnya.
Lebih 200 orang hadir bagi menyaksikan wacana rasuah ini sehingga menyebabkan kelancaran majlis ini beberapa kali terganggu dengan pekikan kuat dipercayai dilakukan kumpulan sorak yang dibawa oleh pihak tertentu untuk membuat bising terutamanya ketika Nizar memberikan hujah mantapnya.
Ketika Dr Ary Ginanjar berkata, malangnya dalam suasana wacana itu, iblis dan syaitan juga turut serta, mereka tidak ingin agar rasuah itu dibanteras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan