Keadaan di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul menjadi kecoh apabila penyokong Pemuda PKR (AMK) pimpinan ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin mula melaungkan takbir serta ungkapan "kami mahu qazaf, bukan sumpah" selepas solat Jumaat hari ini.

Semalam, Eskay mengajak Datuk Seri Anwar Ibrahim melafazkan sumpah laknat atau bermubahalah bersama beliau di masjid berkenaan itu bagi merungkai isu video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang tersebut.
Kumpulan trio itu bertanggungjawab menayangkan video seks tersebut kepada sekumpulan wartawan sebelum ini, yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa mirip Anwar.

Keadaan bertambah panas apabila mereka mendakwa ternampak pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali berada di sebelah mimbar.
Kejar pengarah JAWI
Che Mat kemudian kelihatan keluar melalui pintu di belakang mimbar tetapi terdapat seorang penyokong PKR yang cuba mengejarnya untuk menyerah buku bertajuk Qazaf yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Selepas itu, kedengaran penyokong PKR bertakbir, dan keadaan menjadi bertambah panas apabila perkataan kasar, seperti 'bodoh' kedengaran di kalangan mereka yang berada dalam masjid.

Keadaan tolak menolak berterusan di kalangan 500 orang yang berada di dalam masjid yang bergerak keluar ketika penyokong PKR mengadakan solat hajat dan berdoa supaya orang yang membuat fitnah dikenakan hukuman.
Memandangkan keadaan kecoh tersebut, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin naik ke atas mimbar untuk menenangkan keadaan.
Beliau meminta semua orang keluar dari masjid bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.
Penuh drama
Difahamkan terdapat wartawan yang mendapat kiriman SMS dari Eskay pada jam 2 petang tadi, memberitahu yang beliau bersolat Jumaat di masjid lain dan dalam perjalanan ke masjid di Sentul baru itu.
Sementara itu, Shamsul dan penyokong PKR telah keluar dari kawasan masjid sebelum mengadakan sidang akhbar.

Sebelum itu, keadaan penuh drama apabila penyokong PKR mengedarkan pelbagai risalah menentang upacara sumpah itu diadakan bermula jam 1 petang.
Kelihatan juga kehadiran Ramlan Abu Bakar yang lebih dikenali dengan panggilan "reformis bogel" sebelum ini. Beliau sempat mengadakan sidang media untuk menghentam ketua Umum PKR itu.
Eskay bagaimanapun hadir bersumpah bersama Rahim dan Shuib kira-kira jam 4.15 petang ketika ketegangan agak reda dengan kawalan ketat pihak polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan