Jumaat, 22 April 2011

‘1Mamak, 2Mamak’ Malapetaka buat Malaysia - Tun Mahathir

Perkasa berkata pertubuhan bukan kerajaan itu akan mengepalai gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang disarankan oleh Utusan Malaysia sambil memberi kaum Melayu amaran kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, kumpulan itu tiada masa “selesa” lagi untuk menunggu parti-parti Melayu bertindak.

“Perkasa akan memikul tanggungjawab menggerakkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, di mana adalah jelas masyarakat Cina menerusi DAP cuba mahu mengambil alih kuasa politik Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam tulisan ruangan Cuit kelmarin, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain “semua sudah.”

“Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” katanya.

Dia berkata slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

“Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”

Ahad lalu, edisi Mingguan Malaysia menggesa Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu “pemurah” dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak.

Mingguan Malaysia, yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.

Tiada ulasan: