Lama juga rasanya saya mengikuti PKR serta bergiat bersamanya, tetapi belumlah saya merasakan kebimbangan seperti yang saya alami sekarang ini. Perasaan cemas dan bimbang ini amat jelas dirasakan bersama oleh ramai ahli-ahli serta rakyat amnya.
PKR sekarang sudah tidak lagi sama dalam semua aspek, dari segi perjuangan, rupa bentuknya malah ianya sudah mula hilang identitinya yang asal dan akhirnya sudah pasti tidak mampu untuk menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan orang melayu dan bangsa- bangsa lain sejajar dengan fungsinya sebagai parti untuk perpaduan rakyat majmuk Malaysia.
PKR kini sudah menjadi parti untuk manusia-manusia eksklusif. Perjuangan pemimpin di setiap peringkat hanya untuk kepentingan peribadi sehinggakan ahli-ahli di bawah diperlakukan seperti lembu untuk kepentingan pemimpin atasan.
Ahli dibawah sentiasa dipersalahkan jika ada apa-apa masalah kapada parti. Orang yang lama sudah tidak dipedulikan pandangan mereka. Kecenderungan untuk menerima bulat- bulat pandangan budak-budak yang masih mentah dan berhingus sudah begitu nyata.
Ahli-ahli di bawah dididik untuk mengamalkan ‘herd mentality’ dan tidak boleh mengkritik pemimpin atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka, lebih-lebih lagi kepada pemimpin nombor satu. Malahan bercakap benar adalah menjadi kesalahan besar bagi mereka yang mengaku melaksanakan pentadbiran dengan keterbukaan.
Tugas perwakilan-perwakilan di perhimpunan Kongres Nasional 2010 dahulu hanyalah untuk tepuk tangan dan memuji pemimpin nombor satu.
Kita diminta bersatu untuk terus melindungi mereka yang berkuasa walaupun mereka tidak mampu mentadbir. Memang ini adalah sifat pemimpin yang lemah, yang perlukan pujian-pujian untuk menutup kelemahan kepimpinannya.
Sehingga hari ini, ahli-ahli tidak dapat mencari jalan untuk memberikan pandangan yang berbeza walaupun kita diminta menyelesaikan masalah mengikut saluran yang betul.
Dimanakah saluran itu? Sampai bilakah ahli-ahli disekat untuk menyuarakan pandangan yang ada kelainan? Kalau ada silalah beritahu. Kami hendak tahu saluran itu kerana kalau ada ia penting untuk dibincang secara terbuka bagi menyelamatkan parti dari terjerumus.
Kata-kata Hang Tuah yang "Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia" itu benar. Akan tetapi kalau inilah kualiti kepimpinan yang kita harapkan untuk menjaga kita, saya yakin PKR AKAN HILANG DUNIANYA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan