Jika anda benar-benar tahu berapa nilai RM7.55 bilion (atau RM7,550 juta) itu, anda mungkin terperanjat dan sukar untuk mempercayai dan memekik: “Adakah kerajaan kita begitu teruk? Adakah mereka begitu berani?”
Jawapannya ialah ia; dan tirai drama mula dibuka di parlimen kita, tidak seperti di setengah-setengah laman web yang membuat dakwaan yang tidak berasas.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyoal Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kenapa Kementah membayar harga yang sangat mahal, sebanyak RM7.8 bilion untuk 257 buah kereta perisai.
Zahid menjawab bahawa kementeriannya tidak tahu bahawa harganya RM7.8 bilion seperti mana yang didakwa oleh Pua dan harga kontrak muktamad ialah RM7.55 bilion.
Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang urusniaga yang membolehkan pembekal mendapatkan kenderaan- kenderaan tersebut dari Turki pada harga seperempat dari harga yang dibayar oleh Kementah.
Namun penafian Zahid itu akhirnya terbongkar apabila Pua mendedahkan bahawa Zahid sendiri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari lalu.
Perjanjian itu ditandatangani di antara syarikat pembekal Malaysia, Deftech dan pengeluar kenderaan pertahanan Turki FNSS, syarikat usahasama di antara BAE Systems Inc. dari United Kingdom dan Nurol Holding dari Turki.
Perjanjian ini dilaporkan dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 3 Jun 2011 di laman web BAE System Inc. melibatkan kontrak bernilai USD559 juta yang diberi kepada FNSS untuk “merekabentuk, membangun dan mengeluarkan” sebanyak 257 DEFTECH AV-8 8X8 kereta perisai beroda dan Sokongan Logistik Berintergrasi untuk Angkatan Tentera Malaysia.
Kenderaan-kenderaan tentera yang diberi nama ‘DEFTECH’, sebenarnya direkabentuk oleh FNSS PARS 8X8, kenderaan serbaguna, pelbagai misi, kenderaan beroda lengkap dengan peralatan senjata.
Harga melambong
Ini bermakna Kerajaan Malaysia membayar Deftech sebanyak RM7.55 bilion (RM29.4 juta untuk sebuah), yang kemudian membayar FNSS sebanyak RM1.7 bilion untuk 257 buah kereta perisai itu (RM6.6 bilion sebuah).
Jika anda seorang pembayar cukai yang marah dengan ‘rompakan di siang hari’ melibatkan RM6 bilion dari dana awam, tunggu dulu sehingga anda mendengar harganya di pasaran, yang jauh lebih rendah dari yang ditawarkan oleh FNSS.
Pua dalam satu kenyataannya bertarikh 9 Mac 2011, dalam blognya melaporkan bahawa harga-harga berikut untuk kereta perisai yang setanding yang ditawar dan diurusniagakan dalam pasaran.
a) Pasukan tentera Portugal membayar RM4.4 juta sebuah untuk kereta perisai Pandur II 8X8 (EUR364 juta untuk 353 buah)
b) Model terbaru Pirahan III 8X8 kereta perisai beroda yang dikeluarkanoleh Swiss MOWAG GmBH bernilai RM3.9 juta (USD1.2 juta) untuk tiap-tiap sebuah.
Dengan harga-harga ini sebagai rujukan, adalah wajar untuk kita mengharapkan supaya Kementah membuat tawaran tender terbuka dan mencapai keputusan muktamad.
Kita boleh mengurangkan harga tidak melebihi RM4.5 juta dari RM30 juta untuk sebuah kenderaan pada ketika ini dan mengurangkan nilai kontrak kepada RM1.15 bilion dari RM7.55 bilion.
Ini bermakna kerajaan Barisan Nasional telah melambongkan harganya sebanyak enam hingga tujuh kali ganda mengikut dasar pembelian peralatan pertahanan yang sama sekali tidak bersifat telus dan bertanggungjawab.
Jumlah yang sebegitu tinggi amat memeranjatkan yang mungkin tidak pernah kita dengar walaupun dalam sebuah negara yang paling korup di dunia sekali pun.
Perbelanjaan yang menggila
Urusniaga ini adalah salah satu dari kes bagaimana Kementah membelanjakan wang berbilion ringgit untuk membeli bot peronda dan helikopter dengan harga yang begitu tinggi.
Sebagai contoh, Kementah membeli enam buah kapal peronda luar pantaidari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada harga sebuah RM1 bilion (jumlah RM6 bilion).
Harga yang dibayar ini adalah lima kali ganda dari apa yang dibayar oleh Royal New Zealand Navy untuk pembelian OPV, diperolehi pada harga hanya RM210 juta sebuah (NZ$90 juta) dari syarikat kedua terbesar di dunia, BAE Systems.
Begitu juga dengan pembelian helikopter jenis Eurocopter EC725 pada harga RM190 juta setiap sebuah (RM2.3 bilion untuk 12 buah) manakala Brazil membeli helikopter jenis yang sama pada harga hanya RM82 juta sebuah.
Melihat kepada tiga kontrak ini sahaja – kereta perisai, kapal peronda dan helikopter – menyaksikan ketirisan sebanyak RM12 bilion ekoran transaksi Kementah ini.
Dengan wang sebanyak ini, kita boleh membina rumah kos rendah untuk 250,000 keluarga, menyediakan kemudahan perumahan kepada sejuta rakyat yang tidak mampu.
Dasar pembelian pihak pertahanan melibatkan rasuah yang begitu bermaharajalela sememangnya diketahui ramai di kalangan para pegawai dan eksekutif pertahanan antarabangsa seperti mana yang didedahkan oleh Wikileaks.
Wikileaks mendedahkan kabel dari Kedutaan Amerika Syarikat tentang rakaman perbualan di antara saudara mara dan rakan-rakan ahli-ahli politik ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai timbalannya pada sekitar tahun 2004 hingga 2009.
Di samping mendedahkan jenis rasuah secara spesifik, kabel Amerika itu juga mendedahkan bahawa rasuah menjadi sumber pendapatan utama sebagai dana politik bagi mengekalkan kuasa pihak pemerintah.
Melihat dari perspektif yang lebih besar, ketirisan akibat tiga kontrak ini merupakan sebahagian kecil sahaha dari ketirisan-ketirisan yang berlaku dalam sistem pembelian kerajaan Barisan Nasional, sebagaimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Laporan-laporan tahunan seperti ini, yang mendedahkan amalan rasuah dan salah guna pengurusan (hingga ada yang sukar dipercayai) sering menjadi peringatan bahawa kita terperangkap dengan sistem tadbir urus yang buruk dan akibatnya akan terus menerus mengeringkan sumber dana negara.
Tetapi jika kita menyedari bahawa Laporan Ketua Audit itu adalah sebahagian kecil dari ketirisan yang berlaku setiap tahun, kerana ianya meliputi laporan sebahagian kecil sahaja dari jumlah ratusan jabatan-jabatan kerajaan yang ada maka tentu kita amat bimbang dengan keadaan ini.
Dan adakah perubahan terhadap institusi-institusi telah dan akan berlaku di bawah pimpinan politik sekarang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan