UMNO menakut-nakutkan orang Melayu yang hanya UMNO sahaja yang mesti di undi jika Melayu hendak selamat.
MCA pula menakut-nakutkan bangsanya dengan memaksa kaum Cina untuk mengundi MCA kerana parti itu sahajalah yang boleh menjamin masa depan bangsa Cina dan begitu jugalah yang kita dengar dari MIC untuk orang India. Tetapi orang Cina dan India tidak lagi termakan dengan isu rasis yang di mainkan oleh parti-parti mereka kerana mereka sudah melangkah jauh untuk mencari perubahan. Mereka lebih sayang kepada bangsanya dari parti-parti mereka.
MCA merasakan yang partinya sudah hilang sokongan dari bangsanya sendiri, Begitu juga MIC dan UMNO. Malahan di antara mereka dalam komponen BN pun sedang bertelagah menyalahkan di antara satu dengan yang lain. Bagaimana parti-parti di dalam satu komponen yang bertelagah di antara satu dengan lain itu mampu mendapatkan keyakinan rakyat?
Oleh kerana sikap kurang berkeyakinan untuk mendapat sokongan rakyat inilah yang menyebabkan mereka memainkan isu perkauman yang amat sensitif ini. Oleh kerana kuasa parti-parti dan pemimpin-pemimpin mereka sanggup menggadaikan keharmonian di antara kaum di negara ini. BN khususnya UMNO hanya boleh kekal di atas perpecahan rakyat.
Keenakan berkuasa menyebabkan mereka tidak sanggup diketepikan rakyat di dalam pilihanraya. Maka mereka menggunakan isu rasis ini kononnya untuk menjaga masa depan kaum masing-masing dan mereka menggunakan isu ‘continuity’ sebagai alasan untuk terus berkuasa dan terus menikmati hidup berkuasa kalau boleh buat selama-lamanya. UMNO telah mengambil alih tanggungjawab Tuhan kerana mengaku hanya UMNO sahaja yang boleh menjamin masa depan orang Melayu.
Mereka tidak dapat menerima hakikat yang semua perkara tidak ada yang kekal. Sedangkan nyawa kita pun tidak kekal apatah lagi kuasa politik pinjaman ini. Dalam sebuah negara demokrasi kehilangan kuasa itu adalah lumrah dan mendapat kembali kuasa yang telah hilang pun adalah lumrah juga. Jika BN kehilangan kuasa kali ini ianya adalah biasa dan jika BN mampu memperbaiki diri mereka tidak mustahil kuasa akan kembali kepada mereka pada pilihanraya-pilihanraya yang berikutnya.
BN memang patut merasakan dan mengalami bagaimana duduk di kerusi pembangkang supaya mereka sedar betapa susahnya duduk di sebelah pembangkang dan kesusahan yang bakal di alami oleh BN itu mungkin boleh menjadikan BN lebih matang dan tidak boleh mengambil sikap ‘for granted’ jika kembali berkuasa.
Tidak salah untuk kita berhelah untuk mendapatkan kuasa tetapi biarlah helah-helah tersebut berada di dalam ‘parameter’ moral dan etika kemanusiaan yang munasabah. Penolakan rakyat terhadap yang sedang berkuasa sekatrang ini bukannya tidak bersebab. ‘There is always a cause for a cause’ kata perbilangan Inggeris.
Oleh kerana telah berkuasa begitu lama, terbentuk dalam BN khususnya UMNO bersikap ‘arrogant’ yang begitu menjolok mata. Mereka terus menerus melakukan perkara yang tidak betul kerana berkeyakinan yang rakyat tetap akan mengundi mereka walau apa pun yang mereka lakukan. Mereka mengganggap yang rakyat tidak akan mengalihkan sokongan dari mereka dan itulah yang menyebakan mereka berani melakukan perkara-perkara yang di luar batasan moral selama ini.
Tetapi keadaan itu sudah jelas berubah dan BN sekarang baru hendak menyedarinya tetapi sudah agak terlambat. BN tidak sedar yang rakyat sudah lama terluka di atas tindakan mereka yang tidak melandaskannya kepada moral yang tinggi. Rakyat khususnya yang masih muda sudah tidak lagi memandang BN seperti pemimpin mereka harapkan lagi. Kalau kita pinjam kata-kata Dr Mahathir, UMNO sudah busuk hingga ke ususnya. Ia bermaksud yang UMNO sudah tidak boleh diperbaiki dan dibersihkan lagi.
BN sedar-sedarnya sudah jauh tersasar dari perjuangannya dan tidak mungkin kembali kepangkal jalan kerana melakukan perkara di luar tabii demokrasi sebenar sudah menjadi budaya kepada politik mereka. Selama ini BN tidak peduli dengan sokongan ‘legitimate’ dari rakyat. Asalkan dapat undi mereka tidak kisah samada sokongan itu sokongan ‘legitimate’ atau pun tidak.
Sampai bila kah BN hendak menyelamatkan diri dengan menggunakan kaedah yang kotor dengan memutar belitkan isu sensitif di saluran media perdana dengan memomokan pihak lain terutamanya PAS dan DAP. Lama kelamaan rakyat akan tahu juga segala kelemahan kita kerana rakyat sudah pandai berfikir. Haya pemimpin-pemimpin kita yang malas berfikir.
Banyak di antara kritikan blog ini terhadap BN telah mendapat reaksi kutukan tanpa perbahasan atau setidak-tidaknya alasan yang boleh di terima akal. Kebanyakannya tanpa ‘argument’ yang rasional tetapi hanya melemparkan kutukan semata-mata. Tetapi itulah UMNO dengan penyokong-penyokongnya. Tidak ada siapa boleh memperbaikinya. Mungkin mereka belum lagi sedar yang kata-kata nesta itu telah menjemukan orang ramai tetapi apakan daya sikap itu sudah menjadi budaya yang kekal dengan BN khususnya UMNO.
Tidak ada apa lagi yang boleh menyangkutkan hati kita terhadap ketelusan UMNO itu. Segala yang dilakukan hanya untuk kepentingan beberapa individu sahaja dan itu pun mereka merasakan yang mereka itu masih berada di pihak yang benar.
Tetapi masih ada rakyat yang diperdayakan dengan menggunakan isu Melayu sebagai cara untuk menambat sokongan rakyat dan memalingkan pandangan rakyat dari isu wang dan harta benda mereka yang dicuri oleh ‘perompak kolar putih’ yang sedang bermaharajalela. Mereka (pemimpin dan penyokong) tidak mahu rakyat sedar tentang segala penyelewengan yang dilakukan terhadap rakyat.
Pemimpin-pemimpin UMNO melaungkan slogan Melayu tetapi ramai di antara pemimpin UMNO itu ada ada tawkeh-tawkeh Cina yang menjadikan mereka boneka di dalam kabinet persekutuan dan pemimpin kerajaan di negeri-negeri tadbiran mereka dan meraut peluang perniagaan untuk bagi pihak pemimpin-pemimpin UMNO. Ini amat menjemukan sesiapa yang nampak tentang kemungkaran ini. Oleh itu jika ada orang Melayu yang menyertai parti lain seperti DAP dan PAS maka elok sedarkan diri juak-juak mereka (UMNO) untuk tidak melabelkan mereka yang menyertai parti lain itu sebagai boneka.
Kita mesti sedar yang penyokong-penyokong parti kerajaan adalah juga boneka kepada pemimpin-pemimpin yang sedang giat membelasah harta benda rakyat dengan cara yang sangat sistematik. Mereka adalah boneka kepada perasuah yang rakus tanpa batasan. Di sinilah letaknya perbezaan di antara penyokong dengan pengkritik UMNO. Yang menyokong itu adalah dari mereka yang sanggup di perdayakan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang tidak jujur dan yang tidak menyokong itu adalah dari mereka yang tidak tahan lagi dengan tindakan tidak bermoral pemimpin itu.
Masing-masing ada pilihan: boleh pilih yang bermoral atau kekalkan sokongan yang sudah hilang moral. Marilah kita menghormati kehendak masing-masing. Sedangkan Tuhan pun mewujudkan iblis dan syaitan dan sesiapa boleh memilih di antara kehendak Tuhan dan agamaNya atau menolaknya dengan bersekongkal dengan perasuah seperti yang dipersepsikan terhadap parti-parti yang memerintah sekarang ini. Hanya Tuhan berjanji, kerja dengan niat baik akan di balas baik.
Tepuk dada, tanyalah selera. Tetapi hakikatnya rakyat memang hendak bersatu, tetapi kebanyakan mereka lebih rela bersatu di luar BN. BN atau UMNO itu bukannya agama atau Tuhan yang tidak boleh disekutukan. Orang ramai bukannya bertukar akidah tetapi sekadar bertukar wadah.
Pertukaran wadah itu pun di dorong oleh kelemahan UMNO itu sendiri. Seorang Melayu yang menyertai DAP tidak akan mengurangkan Melayu mereka. Lahirnya seorang Melayu itu akan tetap seorang Melayu sehingga akhir hayatnya.
Melayu yang berjiwa hidup tidak akan hilang identitinya jika menyertai mana-mana parti berbilang kaum. Melayu yang hidup jiwanya itu adalah ibarat ikan yang hidup bertahun-tahun di lautan dalam yang masin. Ikan yang hidup itu jika dikeluarkan dari lautan dalam, ia tetap tidak masin.Tetapi sebaliknya jika ikan mati di keluarkan dari lautan dan di jemur, ianya akan jadi ikan masin yang kering.
Anologi ini membezakan di antara mereka yang berjiwa besar dan inginkan perubahan dengan mereka yang fakir jiwanya dan terus sahaja memberikan sokongan kepada pengkhianat rakyat dan negara melalui rasuah dan salah guna kuasa itu.Jika UMNO dan pemimpin serta penyokongnya menganggap sesiapa yang menyertai PAS, DAP atau PKR itu sebagai boneka, maka pihak yang menyokong BN itu juga adalah boneka kepada kumpulan penagih rasuah dan penyalahguna kuasa pula.
Maka akhirnya akan wujud dua kumpulan boneka. Boneka yang pertama ialah boneka kepada kumpulan penagih rasuah dan satu pihak lagi ialah boneka kepada pihak yang bersih dan beretika dan tahu menyelangarakan kerajaan dengan lebih bersih dan transperan.
Rakyat perlu diberikan kebebasan untuk memilih di antara dua kumpulan ‘boneka’ ini. Bagi diri saya saya memilih untuk menjadi ‘boneka’ kepada kerajaan yang bersih dan jujur terhadap rakyat dan negara. Saya mungkin akan menjadi ‘boneka’ kepada kumpulan yang bersih yang mengelak dari memainkan isu rasis yang tidak berfaedah kepada rakyat dan negara. Masa akan menentukannya.
Saya sedar saya tidak ada negara lain untuk saya berlindung. Malaysia sahajalah negara saya. Saya tidak mampu untuk berada di negara lain kerana saya tidak mempunyai apa-apa. Hanya negara ini sahajalah tempat saya untuk hidup sehingga di panggil Allah swt ke arash. Saya seperti saudara mempunyai generasi saya yang saya tinggalkan yang perlukan jaminan dan tidak di terbiar melata di negara mereka sendiri.
Masalahnya orang melayu sekarang sudah kehilangan UMNOnya. Ada parti yang saya anggotai menggunakan nama UMNO, tidak mempunyai ciri-ciri UMNO yang sebenarnya. Jasad UMNO sudah lama terpisah dengan rohnya. Yang masih ada pada UMNO sekarang hanyalah alat sokongan penafasan, iaitu saki baki KUASA yang ada kepada parti itu.
Jika alat sokongan penafasan ini dicabut oleh rakyat nanti maka berhentilah denyutan jantungnya dan tidak akan bergerak lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan