Jumaat, 14 Oktober 2011

Bila Yang Benar Cuba DiPertikaikan..


Menzahirkan perasaan yang telus dan yang terus terang dalam politik memang satu perkara yang amat sukar untuk dilakukan, apatah lagi jika pandangan itu tidak disenangi oleh mereka yang sedang mabuk dalam kuasa dan para-para penyokong fanatik mereka. Selalunya mereka yang sedang berkuasa memang tidak sedar apa kesalahan mereka kerana mereka sedang asyik dengan jolokan dan ampuan penyokong-pernyokong mereka yang buta serta tuli.

Itulah sebenarnya hakikat yang menjadi kenyataan didalam politik negara khususnya dipihak yang sedang berkuasa. Kadang-kadang terfikir juga untuk mendiamkan diri kerana banyak pihak akan marah dan murka terhadap pandangan kita yang mereka tidak suka mendengarnya.
 
Kadang-kadang kita keliru dengan sikap setengah pihak yang mengaku menyokong tetapi tidak memberikan apa-apa bukti sokongan selain dari mengampu dan membodek yang akhirnya melalaikan mereka yang sedang khayal dengan kuasa, ‘glamor’ dan keasyikan.

Bagi pihak yang benar-benar ingin melihat partinya mendapat sokongan mereka akan menegur dengan jelas dan telus supaya partinya tidak ditolak rakyat tetapi selalunya pihak ini akan menjadi mangsa cemuhan dari mereka. Yang mengampu untuk membawa rebah itu jugalah yang akan didengar oleh mereka. Akhirnya yang salah nampak benar dan yang benar akan nampak salah.

Tetapi apabila yang berkuasa itu jatuh, orang-orang yang terawal yang akan meninggalkan mereka adalah dari gulungan yang paling hampir yang mengampu dan membodek mereka selama ini. 
 
Selalunya mereka yang jatuh tadi akan tinggal kesaorangan dan masa itulah mereka akan mencari teman untuk berbual dalam masa kesunyian kerana mereka yang hampir dan mengampu mereka dahuu sudah hilang dari pandangan mereka.

Yang mengampu mereka dahulu sekarang sedang sibuk membina jambatan dengan pihak yang baru naik dan kumpulan ini jugalah yang akan mengampu mereka yang baru berkuasa itu. Pemimpin yang telah ditinggalkan mereka tadi akan mula menalipon dan memanggil mereka yang tidak disukainya dahulu kerana memberikan teguran yang telus terhadap mereka sewaktu mereka sedang dilamun keindahan hidup semasa berkuasa.

Akhirnya pihak yang benar-benar menyokong itu senantiasa berada dipinggiran pemikiran mereka yang berkuasa.

Secara terus dan jelas saya ingin memberikan pandangan yang PKR akan menghadapi jalan yang paling sukar didalam pilihanraya yang akan datang. Percaya atau tidak saya tidak peduli.

Jika pandangan saya ini benar, maka pemimpin yang akan jatuh nanti tidak perlu gusar kerana saya beberapa orang yang lain senantiasa berkawan dengan sesiapa yang tidak berkuasa atau pun yang telah jatuh tersungkur dalam politik.
 
Apabila sudah jatuh nanti, panggillah saya dan beberapa orang yang seperti saya untuk dijadikan teman semasa dalam kesunyian kerana ditinggalkan oleh penyokong atau kroni yang telah lari bertempiaran.

Selalunya yang telah kesunyian itu akan kembali bersahabat dengan saya dan orang-orang seperti saya. Tak perlu bimbang. Setakat belanja secawan dua kopi atau teh tarik saya mampu untuk belanja saudara. Tetapi kalau minum air suam sahaja lebih baik kerana harga air suam dikedai mamak hanya setakat 30 sen sahaja segelas. Setengah kedai kopi mamak air suam masih percuma kalau kita membuat pesanan sekeping dua roti canai.

Tiada ulasan: