Ahad, 30 Oktober 2011

Bekas editor majalah politik: Dua kali saya 'mati' untuk KDN

"Saya 'dibunuh' dua kali.  Kedua-dua kali 'kematian' saya adalah untuk Kementerian Dalam Negeri," demikianlah keluhan Joseph Seow, bekas Editor Special Weekly, ketika mengisahkan pengalaman bagaimana dirinya dilucutkan jawatan, dan dipecat setahun kemudian.

Joseph Seow mendakwa nasib yang menimpa dirinya berpunca daripada lawatan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein ke ibu pejabat Sin Chew Daily pada 16 Ogos 2010.  Menurut Joseph Seow, pihak atasan syarikatnya mengesahkan kepada dirinya, bahawa pelucutan jawatannya ada kaitan dengan campur tangan KDN.  Joseph Seow dimaklumkan bahawa beliau dilucutkan jawatan agar permit Special Weekly boleh diperbaharui.

Joseph Seow dilucutkan jawatan sebagai Editor Special Weekly pada Ogos 2010, disyaki berikutan kandungan yang disiarkan dalam majalah politik mingguan itu tidak menyenangkan KDN, termasuk satu kartun yang menyindir Perdana Menteri Najib Razak sebagai Mr.U-turn.  Beliau kemudian ditukar ke bahagian lain, bertanggungjawab untuk mengendalikan sebuah majalah yang mengutamakan iklan.

Bagaimanapun, beliau dipecat secara tiba-tiba pada 24 Oktober 2011, malah diarah untuk mengosongkan pejabatnya dalam masa 24 jam.  Ketika mengisahkan kejadian ini, Joseph Seow mengesyaki bahawa tindakan ini diambil terhadapnya kerana keterlanjuran dirinya dalam satu mesyuarat bersama pihak atasan syarikatnya.

Pelucutan jawatan yang memberi impak

Dalam satu sidang media pada hari ini, Joseph Seow berkata dirinya mengalami depression (kemurungan) selepas pelucutan jawatan setahun yang lalu.  Beliau menganggap dirinya diberi layanan yang dingin, kerana gagal memperkembangkan bakat dirinya dengan jawatan yang disandangnya sekarang.  Meskipun menghargai jasa majikannya untuk membayar kos perubatan psikologinya, namun beliau tetap tidak selesa dengan keadaannya sekarang.

Ketika dilucut dari jawatan Editor Special Weekly, beliau dimaklumkan bahawa dirinya telah dimasukkan dalam senarai hitam KDN.  Bagaimanapun, Josepn Seow (gambar kanan) dinasihatkan agar tidak membuat kenyataan kepada media internet, dan beliau dijanjikan bahawa beliau akan diberi jawatan yang setimpal dalam syarikatnya.  Special Weekly adalah salah satu majalah di bawah Media Chinese International Limited.

Meskipun menerima tawaran syarikatnya, tetapi kejadian ini telah memberi impak yang besar terhadap psikologinya.  Beliau tetap menganggap dirinya tidak bersalah dalam insiden tersebut.  Beliau merasai dirinya dipinggirkan selepas bertukar jawatan.  Melihat keadaannya sebegini, doktornya menasihat agar dirinya berunding dengan majikannya, mencari jalan penyelesaian yang baru.

Surat guaman kepada Hishammuddin Hussein

Namun, tanpa disedari, beliau terlanjur kata dalam rundingan tersebut.  Beliau berkata kepada Ketua Pengarang Media Chinese International Limited, Siew Nyoke Chow, "Sampai bilakah saya diberi layanan dingin ini?  Saya mengalami depression, saya sangat tidak selesa.  Layanan dingin kamu membuat saya sangat menderita.  Saya tidak tahu, mungkin satu hari saya gagal menahan untuk menghantar satu surat guaman kepada Hishammuddin Hussein."

Joseph Seow menganggap Hishammuddin Hussein (gambar kiri) adalah pencetus kepada segala-gala ini, meskipun Siew Nyoke Chow membalas bahawa Joseph tidak akan berjaya untuk menyaman Hishammuddin.  Joseph menjelaskan, soalnya bukan berjaya atau tidak, tetapi untuk memberitahu Hishammuddin apa yang berlaku sebenarnya, dengan mesej "jangan paksa saya dengan cara sebegitu".

Joseph Seow tidak perasan apa yang tidak kena dengan kata-katanya itu, sehingga diberitahu seorang atasan, bahawa dirinya terlanjur ketika berunding dengan Siew Nyoke Chow.  Kata-katanya itu telah ditafsir sebagai "seandainya Joseph menghantar surat guaman kepada Hishammuddin atas kapisiti seorang kakitangan Media Chinese International Limited, maka ia mungkin tidak menyenangkan buat pihak majikan."

Justeru Seow itu, beliau mengesyaki bahawa ini puncanya yang menjurus kepada pemecatan dirinya secara tiba-tiba pada 24 Oktober 2011.  "Dengan kata lain, kedua-dua 'kematian' saya adalah untuk Kementerian Dalam Negeri.  'Kematian' pertama adalah pelucutan jawatan saya untuk memuaskan KDN, dan kematian kedua adalah supaya KDN tidak dikejutkan dengan apa yang telah berlaku," katanya.

Joseph Seow yang mengalami depression mengesal, kerana seandai dirinya tampil ke depan pada kali pertama beliau dilucutkan jawatan, maka beliau mungkin "tersinggung" untuk hanya sekali, dan barangkali sembuh selepas setahun.  Namun, pakar psikologinya memberitahu, beliau kini memasuki peringkat depression kedua yang lebih dahsyat lantaran daripada pemecatan ini.

"Saya tidak buat pilihan sedemikian (tampil ke depan) ketika itu.  Akhirnya, saya perlu berdepan dengan tamparan yang lebih besar pada hari ini.  Pertukaran jawatan (selepas pelucutan jawatan) masih ada harapan... Mungkin satu peluang.  Justeru itu, meskipun sedih ketika dilucut jawatan kali pertama, tapi saya masih berharapan.  Namun, hari ini saya dipecat.  Salah seorang kawan saya berkata, ini peristiwa yang pedih.  Syarikat saya zalim, dengan cara yang sebegitu kasar...," katanya.


*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Tiada ulasan: