Selasa, 11 Oktober 2011

Jawapan Azmin: Isu Guling Khalid Ibrahim

Ahli PKR Desak Guling Abdul Khalid - Azmin 


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), MohamedAzmin Ali mendedahkan kontroversi berhubung gesaan untuk menyingkir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sebenarnya muncul di kalangan ahli peringkat bawahan parti itu.

Bagaimanapun menurutnya, pandangan ahli parti agar kepimpinan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar digantikan telahpun ditolak oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR.

"Mana-mana pihak yang kemukakan (pandangan) sama ada dalam memorandum atau luar memorandum kita bincang secara terbuka dalam kepimpinan parti di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat.

"Jadi soal pandangan yang diberikan oleh anggota parti harus kita raikan, tapi kita telah bincang dan muafakat bahawa Tan Sri Abdul Khalid akan teruskan sebagai Menteri Besar," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan sebuah blog berhubung wujudnya memorandum yang diserahkan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memecat Abdul Khalid sebagai MenteriBesar baru-baru ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa sebelum ini sering dikaitkan dengan dakwaan terlibat dalam komplot untuk menggulingkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Malah Mohamed Azmin turut dikaitkan terlibat dalam dakwaan pakatan 15 ahli Parlimen untuk menggulingkan Abdul Khalid pada pertengahan 2010.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, kepimpinan tertinggi PKR juga menyedari wujudnya gesaan berkenaan namun Majlis Pimpinan Pusat berpendirian untuk mengekalkan kepimpinan Abdul Khalid.

Ditanya mengenai kesahihan memorandum gesaan berkenaan, Mohamed Azmin berkata beliau tidak mengetahui mengenainya.

"Saya tidak tahu, saya tidak pernah melihat memorandum tersebut. Namun perkara ini telah dibincangkan di peringkat tertinggi parti dan kita mengambil keputusan secara kolektif supaya beliau (Abdul Khalid)teruskan.

"Perkara itu telahpun dibincang dan kita muafakat untuk mempertahankan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar," katanya.

Dalam pada itu Mohamed Azmin turut memuji pentadbiran Abdul Khalid yang disifatkan efisyen terutamanya dalam menangani masalah rakyat.

"Beliau telah meletakkan satu asas yang cukup kuat dan kukuh di Selangor dalam pelaksanaan dasar-dasar yang peduli masalah rakyat dan diterima baik masyarakat dan rakyat keseluruhannya," katanya.

Klik  untuk berita terdahulu : http://yobtualangsekah.blogspot.com/2011/10/khalid-ibrahim-mb-selangor-akan.html


Tiada ulasan: