Ahad, 30 Oktober 2011

Imam Wang Jinyu dan Internet.


Di Wilayah Autonomi Hui Ningxia China, jumlah penduduk kaum Hui yang beragama Islam menduduki 36% daripada jumlah keseluruhan penduduknya. Di seluruh wilayah ini, terdapat lebih kurang 4,000 buah masjid dan jumlah imam yang berdaftar mencapai lebih 5,000 orang. 

Sempena hari raya Aidilfitri yang jatuh pada 31 Ogos tahun ini, pemberita CRI telah melawat bandar Wuzhong, Ningxia dan mewawancara Imam Wang Jinyu di Masjid Wunan.

Wang Jinyu kini berumur 38 tahun dan beliau menjadi imam sejak 16 tahun lalu. Datuk dan bapanya juga imam. Namun apabila memperkatakan tentang masa depan anaknya, yang masih belajar di sekolah menengah, Imam Wang mengatakan bahawa sama ada hendak berkhidmat dalam bidang keagamaan atau tidak, itu pilihan anaknya sendiri dan beliau akan menghormati pilihannya. 

Pada Mei tahun 2010, Imam Wang Jinyu dilantik sebagai Imam Besar di Masjid Wunan. Imam yang masih muda ini telah dua kali pergi ke Mekah untuk menunaikan fardu haji. Beliau juga mengetuai rombongan melawat ke Indonesia, Singapura dan negara-negara lain untuk pertukaran maklumat keagamaan. Sewaktu menunggu pemberita CRI, beliau sedang membaca tafsir kitab al-Quran edisi bahasa Farsi yang berusia 200 tahun. 

"Sebagai imam, saya perlu mengetahui bahasa Arab dan bahasa Farsi, serta berkhutbah dalam bahasa Mandarin. Kami biasanya berkhutbah dalam bahasa Mandarin dahulu, dan diikuti dengan bahasa Arab. Pada hari-hari kebesaran seperti Aidilfitri dan Aidiladha, kami berkhutbah dalam bahasa Arab sahaja." Kata Imam Wang.


Menurut beliau, selain menjalankan tugas di masjid, beliau juga memberi syarahan kepada lebih 80 orang tua yang tinggal di sekitar Masjid Wunan. 

"Terdapat banyak orang tua yang bersara menghabiskan waktu dengan sia-sia sahaja. Maka saya memberi syarahan setengah jam mengenai kesihatan, bahasa Mandarin dan moral kepada mereka supaya amalan hidup mereka lebih sihat dan bermakna." 

Setelah memberi syarahan kepada orang tua, Imam Wang juga memberi syarahan kepada lebih 100 orang muslimah. Imam Wang menyampaikan tafsiran kitab al-Quran serta pengetahuan tentang kesihatan kepada mereka. 

Oleh sebab purata taraf pendidikan di bandar Wuzhong kurang tinggi, maka syarahan Imam Wang kepada orang tua dan muslimah itu dianggap amat membantu untuk meningkatkan taraf pengetahuan mereka. 

Setelah menjalankan tugas yang amat sibuk sepanjang siang, Imam Wang kena membuat persiapan bagi khutbah untuk keesokan harinya. Beliau mengatakan bahawa, beliau melayari internet sekurang-kurangnya setengah jam untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. 

"Saya mula melayari internet tujuh tahun yang lalu. Tumpuan saya ialah berita dalam dan luar negara serta laman sesawang Islam supaya saya boleh berkhidmat dengan lebih baik untuk masyarakat Islam." 

Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau tidur pada pukul 12.00 malam, dan bangun pada pukul 3.00 pagi untuk memulakan tugasnya. Walaupun kekurangan tidur, Imam Wang berbesar hati dapat berkhidmat lebih banyak masa untuk masyarakat Islam.

Tiada ulasan: