Jumaat, 14 Oktober 2011

Bermula dengan Kurap, Akhirnya Korup.

Penyakit kurap merupakan penyakit kulit yang dihidapi oleh orang-orang di kampung masa dahulu. 
 
Sejak tiga puluh tahun dahulu penyakit ini sudah mula hilang oleh kerana taraf kesihatan rakyat sudah bertambah baik. Kalau pun ada lagi, mungkin ianya wujud di pedalaman yang jauh dari kemudahan kesihatan.

Selalunya kurap ini hinggap di punggung dan ianya sangat gatal. Kulit kita akan jadi kemerah-merahan apabila hari panas. Sesiapa yang dihinggapi penyakit kurap seseorang itu akan cuba sedaya upaya untuk mengelak kurapnya di tiup angin, kerana jika terkena pada tiupan angin pesakit itu akan merasa pedih tidak tertahan. 
 
Selalunya jika angin bertiup pesakit ini akan mengadap angin yang bertiup kerana takut angin akan melanggar punggungnya yang berkurap itu. Jika angin datang dari barat, pesakit ini akan menghadap ke barat, jika angin bertiup datang dari timur dia akan menghadap ke timur. Begitulah keadaan pesakit kurap kerana dia tidak mahu angin terkena pada kurapnya.

Maka itulah sebabnya saya katakan pemimpin-pemimpin politik kita terpaksa tunduk kepada orang berkuasa di atas kerana konsep kurap tadi. Dari mana angin bertiup di situlah mereka mengadap. Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan dan ahli keluarganya itu tidak betul, mereka tidak berani untuk melawannya, kerana takut kurap akan terkena angin.

Oleh kerana tugasnya hanya untuk mencari arah tiupan angin maka mereka tidak ada masa untuk membuat kerja-kerja lain.

Ramai juga yang saya kenal berbuat begitu, dan jika ditanya kenapa perlu pergi mereka kata, “Bro, cari makanlah! Udah sistem macam tu, teman gagahkan.” 

Cerita Kurap ini pendek sahaja tetapi boleh dijadikan pelajaran kepada sesiapa yang ingin belajar. 
 
Orang tua-tua berpesan “Jadikan alam sebagai guru.”

Tiada ulasan: