Ahad, 23 Oktober 2011

BERITA PERAK : ‘Saya takut cabar Koo Ham’: DS Zambry





“Saya tidak takut atau gentar untuk mencabar Koo Ham kerana akhirnya kebenaran akan timbul juga”.

Itu reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berhubung tindakan terbaru Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam dengan mendakwa kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas lebih 60,000 ekar tanah pada harga RM375 bagi 0.4 hektar kepada kroni dengan jumlah hasil RM1.2 bilion.

“Jika beliau (Koo Ham) tidak gentar untuk mencabar saya dan mengatakan ada bukti berhubung dakwaannya itu, di sini saya ingin beritahu bahawa saya lagi tidak takut dan gentar untuk mencabarnya.

“Penipuan yang cuba dilakukannya kali ini agak serius dan beliau telah membuat kenyataan itu pada konvensyen DAP negeri baru-baru ini dan mengulanginya lagi di beberapa tempat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak di Ipoh, hari ini.

Zambry berkata, sebagai pihak yang membuat tuduhan, Koo Ham yang juga seorang peguam berpengalaman seharusnya bertanggungjawab untuk membuktikan segala dakwaan itu.

“Apabila beliau buat tuduhan, ada beban bukti yang perlu dikemukakannya tetapi nampaknya dia cuba main wayang dengan membuat laporan kepada SPRM dengan menambah jumlah hasil yang dinikmati kroni sebelum ini, iaitu daripada RM900 juta kepada RM1.2 bilion pula.

“Peguam-peguam saya akan mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya terhadap Koo Ham kerana kenyataan yang dikeluarkan itu cukup merbahaya serta memberi gambaran menjijikkan terhadap pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya lagi sambil menegaskan beliau tidak akan bertolak-ansur dalam perkara seumpama itu,” kata Zambry lagi.

Pada sidang media itu juga, beliau sekali lagi mencabar Ahli Parlimen Bruas itu supaya mengemukakan bukti dengan menyatakan nama kroni yang dimaksudkan telah mendapat faedah daripada penjualan tanah itu.

Pihak pembangkang katanya, telah beberapa kali cuba memburukkan imej kerajaan BN termasuklah isu kelulusan tanah 30,000 ekar tanah kepada Rahman Hidraulik dan menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan BN dengan mendakwa Perak berada di ambang muflis.

Episod cabar-mencabar ini bermula apabila Koo Ham sebelum ini mendakwa Zambry telah meluluskan tanah seluas 68,503 ekar dan menjual 60,561.75 ekar tanah pertanian atau industri daripadanya dengan nilai RM375 bagi setiap 0.4 hektar.

Berikutan itu, Zambry telah meminta Koo Ham supaya membuat permohonan maaf dalam masa 24 jam. Bagaimanapun semalam,  Ngeh sebaliknya bertindak membuat laporan di SPRM dengan meminta Menteri Besar menamakan kroni-kroni yang terlibat dalam urusan pemberian tanah seluas 68,503 ekar seperti dakwaannya.

PS.. PRU13 Haooup ler miker, Zambry oooi.. Warghkahkahkah!

Tiada ulasan: