Isnin, 29 Ogos 2011

UMNO PINGGIR MCA.. (sedih ooo..!)

MCA pada satu mesyuarat tertutup dengan pegawai diplomat Amerika
Syarikat mengakui bahawa masyarakat Cina di negara ini turut
dipinggirkan tetapi tidak boleh mendedahkannya kerana terikat untuk
menyokong kerajaan, khususnya Umno yang memerintah negara.

Menurut pendedahan oleh Wikileaks, kabel rahsia antara Washington dan
kedutaannya di Kuala Lumpur, memperincikan mesyuarat pejabat politik
kedutaan itu dengan naib presiden MCA, ketika itu, Datuk Seri Ong Tee
Keat.

Kabel yang bertarikh 19 Oktober 2006 itu didedahkan bulan ini.

"Sudah tentu kami dipinggirkan, dari perniagaan yang besar kepada
pemilik gerai kecil, semuanya tahu - tetapi MCA tidak boleh
mengakuinya," beliau dipetik memberitahu diplomat Amerika.

Ong yang kemudian dilantik menjadi presiden MCA sebelum disingkirkan
oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengikut kabel berkenaan, berkata
parti itu terpaksa berdiam diri walaupun rata-rata masyarakat Cina
cukup tidak berpuas hati.

Ong juga dipetik sebagai berkata bahawa "berdiam diri kadang-kadang
adalah jawapan sah yang mampu diberikan” sebagai reaksi kepada rasa
tidak puas hati masyarakat Cina terhadap MCA dan Gerakan yang
menyokong kerajaan.

Kabel itu memperincikan rungutan bekas Presiden MCA bahawa parti itu
sebelum ini boleh mendapat "saki-baki" projek-projek pembangunan Umno
tetapi kini terpaksa bergantung kepada ehsan dan cebisan sisa daripada
rakan kongsinya yang dominan itu.

"Dulu, MCA pernah n mendapat saki-baki, tetapi sekarang kita hanya
berharap mendapatkan cebisan sisa daripada Umno," kata Ong seperti
laporan kabel itu.

Antara contoh yang diberikan ialah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
di mana tiada satu pun daripada 180 sekolah yang dirancang itu adalah
sekolah vernakular dan hanya dua diberikan selepas bantahan daripada
masyarakat minoriti.

Menurut kabel itu, Ong juga mengakui rasa tidak puas hati yang
sebegitu menebal di kalangan masyarakat Cina terhadap status quo dan
bahawa MCA akan menghadapi cabaran paling getir pada pilihan raya umum
akan datang.

Kebimbangan mempunyai asas apabila pada pilihan raya umum 2008,
separuh daripada kerusi MCA di Parlimen dirampas iaitu hanya mampu
mempertahankan 15 daripada 31 kerusi yang dimilikinya sebelum itu.
Gerakan yang memerintah di Pulau Pinang tumbang apabila semua kerusi
Dewan Undangan Negeri yang ditandingi tewas.

Usaha berulang-kali Malaysiakini bagi mendapatkan ulasan Ong masih
belum berjaya.

Tiada ulasan: