Ahad, 28 Ogos 2011

PINK FLOYD dan Ranjau Separuh Jalan.



Ketika belajar di sebuah sekolah di Pulau Pinang suatu ketika dahulu, saya dan beberapa rakan telah menubuhkan sebuah kumpulan gitar rancak yang sebenarnya tidak rancak sangat pun. 

Kugiran kami dinamakan sempena Renaissance yang tercatit sedikit kisah mengenai zaman itu di dalam buku teks sekolah menengah.

Maka selepas beberapa kali outing, selain bermain papan selaju, kami pun dalam masa sama berbincang untuk menghasilkan lagu sendiri.

Setelah berpetang-petang belajar bermain gitar secara curi-curi di belakang kantin sekolah, akhirnya dapat juga bermain lagu cover oleh sebuah kumpulan…errr, punk agaknya.

Dipendekkan cerita, entah bagaimana, suatu hari dalam operasi spot check di asrama, kami yang terlalu hendak menonjolkan sangat semangat Renaissance, maka tercerahlah sedikit guru-guru kami yang sebelum ini berada di ceruk dalam, lebih dalam dari gua Plato.

Di meja masing-masing, tertampal gambar-gambar idola pemuzik dan kugiran, dengan perlbagai jenis logo dan sticker kugiran-kugiran yang boleh dikatakan agak jahat juga lah kalau dilihat dari perspektif seorang guru beraliran zaman kegelapan.

Black metal


Dalam masa sama, ketika tahun itu, Malaysia heboh dengan isu black metal. Saya sendiri tidak faham kenapa isu black metal popular dengan mendadak, kerana ketika itu saya tak ambil peduli langsung dengan muzik heavy metal. Saya lebih ke arah pop yeh yeh yang dilanjutkan menjadi muzik caca merba.

Bagaimana pun, oleh kerana spot check itulah, maka kami dituduh sebagai penganut black metal. Biasalah, kambing hitam perlu wujud untuk mengekalkan kuasa. Jadi, tertangkaplah kami.

Kami disumbatkan di dalam bilik disiplin. Itu pun selepas dipukul rotan berkali-kali. Umpama hamba abdi yang kerap dipukul dengan cemeti untuk bergerak menolak batu ke atas bukit.

Di dalam bilik yang berhawa dingin itu, lima orang guru duduk di kerusi empuk mereka, berhadapan dengan kami yang berdiri. Di tengah-tengah antara pelajar dan guru, meja panjang menjadi sempadan kami. Dan di atas meja itu, diselerakkan kaset-kaset, majalah-majalah, poster-poster, dan pelbagai lagilah perkara-perkara yang berkaitan dengan black metal itu.

Sudahlah disoal tentang kegiatan kami yang kerap jamming itu, dituduh pula kami  sebagai kumpulan ajaran sesat.

Bagaimana pun, atas faktor atas pagar yakni di antara profesionalisme dan ikatan perasaan guru-murid, jawapan kami hanya sekadar sengih dan buat-buat muka masam sahaja.

Ada juga good cop di kalangan lima orang guru itu yang cuba menggunakan kaedah lembut. Dan beliaulah yang meyakinkan kami supaya memegang penyapu untuk dijadikan gitar dan beberapa baldi sebagai drum untuk mempersembahkan lagu kami kepada mereka.

Sedikit segan kerana pertama kali membuat persembahan di hadapan penonton, lagu-lagu kami jadi sumbang, drum entah bunyinya ke mana, sementara gitar angin pula tidak betiup.

Penonton yang bad cop pula menjerit menyuruh kami meneruskan lagu kami. Oleh kerana peranan kasar beliau itulah yang menambahkan lagi malu alah kami menjadi kepada bengap.

Dipendekkan lagi cerita, akhirnya kugiran Renaissance kami dibubarkan. Percubaan untuk mengubah zaman tidak dapat berlaku kerana telur jantan masing-masing mengecut bak bunga layu di taman.

Renaissance

Lama sudah episode ngeri itu berlalu. Sehinggalah pada pada 24 Ogos 2011, saya terbaca sebuah rencana oleh seorang manusia bernama Zaini Hassan yang menulis dalam ruangan Cuit dalam akhbar Utusan Malaysia yang terkenal sebagai lidah rasmi UMNO.

Tajuknya, ‘Anwar The Renaissance Man, Pas Plastik dan P. Pinang milik UMNO!’

Siap ada tanda ‘!’ lagi. Ganas tajuknya, macam black metal tengah marah dalam Facebook pun ada.
Ketika membaca tulisan Zaini, saya mula faham, mengikut andaian saya (yang diculik dari akhbar web Malaysian Insider bertajuk, ‘Anwar is like a Renaissance man who likes ‘naked men’, says Utusan,’) bahawa Renaissance itu rupa-rupanya sebuah perkataan yang memberi makna yang lebih luas dari apa yang dipelajari saya melalui buku teks sekolah itu.

Lalu, saya pun mewikipediakan perkataan Renaissance, yang melanjutkan lagi secara separuh jelas dalam bahasa Inggeris (setakat yang saya mampu), malah dalam Wikipedia Bahasa Malaysia juga terdapat maklumat tentang itu, yang diterjemahkan sebagai Zaman Perubahan.

Kemudian baru saya teringat tentang buku teks sekolah saya dahulu, Renaissance datang selepas zaman pertengahan, atau lebih dikenali dalam buku teks sekolah sebagai zaman gelap.

Di dalam rencana Zaini itu, menurut berita di Malaysian Insider, “Utusan Malaysia mocked Datuk Seri Anwar Ibrahim today and likened him to Renaissance era artists such as Michelangelo and Leonardo da Vinci who ‘like fully naked men and handsome young boys.’”, membuatkan saya tidak senang.

Bukan kerana saya terangsang dengan nama Anwar atau perkataan naked man itu, tetapi kerana melalui perbandingan saya, di dalam rencana Zaini itu, beliau turut meletakkan alamat laman web wikipedia tentang Renaissance itu.

Saya sangat-sangat tidak sangka, seorang penulis yang mempunyai kolum sendiri di sebuah akhbar harian oleh menyamakan Ketua Pembangkang Parlimen dengan hasil-hasil seni yang mengubah corak pemikiran rakyat dunia.

Malah, lebih halus, Zaini, menurut Malaysian Insider, Anwar penulis buku Asian Renaissance itu dikatkan dengan minat hasil karya lucah dan homoseksual.

Sedangkan, menurut alamat wikipedia yang Zaini letakkan sendiri dalam rencana beliau, jelas menyatakan Renaissance itu adalah semangat perubahan dan pembaharuan dari budaya dan dogma lama yang kejam kepada percikan cahaya dan dilanjutkan kepada pencerahan, kemodenan teknologi yang dinikmati penulis sendiri.

Begitu hebat seni propaganda lidah rasmi UMNO itu sehingga dapat mencipta ‘bukti’ yang tiada kena mengena langsung dan dikaitkan menjadi seakan fakta. Cuma beliau tidak pula menyebut ‘ini fakta’ dalam mana-mana perenggan beliau.

Kalau Zaini sebut begitu, memang cari nahaslah beliau. Habis seniman seluruh dunia yang berjiwa halus seindah bulan dan bintang, mengamuk dan berpiket di hadapan bangunan Utusan!

Bila membaca tulisan lidah rasmi UMNO itu, kenangan saya kembali ke asrama sekolah dahulu, selepas beberapa bulan spot check diadakan.

Green Day

Warden yang merangkap guru Bahasa Malaysia di sekolah saya tegas orangnya. Tegap tubuh badannya, dan gaya rambutnya juga berubah-ubah. Ada kala pada perhimpunan pagi sebelum ke sekolah, gaya rambutnya seakan Al Pacino dalam filem The Godfather, tersikat rapi berminyak.

Ada kalanya pula rambut beliau akan disikat ke tepi kiri dan kanan –  rambut belah tengah. Pendek kata, beliau seorang yang ada gayalah.

Di asrama, selepas spot check itu, pengawas-pengawas membawa plastik-plastik barang rampasan dan dihamburkan di tengah padang tapak perhimpunan pagi pelajar asrama.

Warden tunjukkan satu persatu. Pertama, setakat yang saya ingat, ketika beliau mengangkat pita kaset album The Wall oleh Pink Floyd, beliau sempat membuat muka masam-tak-masam dengan senyuman perli memandang halus ke arah kami, sambil menunjukkan pita itu kepada pelajar-pelajar asrama yang sedang beratur seperti tentera yang paling malas di dunia.

Kemudian dibalingnya kaset itu ke tanah. Di ambilnya lagi barang-barang lain, dan begitulah reaksinya setiap kali bila menunjukkan barangan yang dirampas kepada kami semua.

Selepas tamat sesi tunjuk barang rampasan, dan pelajar-pelajar yang mana mahu menuntut (dan menjawab) barangan yang dirampas dibawa ke kantin asrama bersebelahan tapak perhimpunan pagi.

Sementara mereka berpusu ke kantin, saya dan rakan-rakan yang sealiran corak pemikiran, cepat-cepat lari kembali ke bilik asrama masing-masing untuk mencari barangan apa yang tidak dirampas.

Secara kesimpulannya, kesemua barangan kami, iaitu barangan larangan yang tidak patut ada dalam asrama dirampas kecuali sebuah kaset milik seorang rakan.

Satu-satunya kaset yang tidak dirampas antara kami itu tertulis ‘Green Day’ dengan kulit album padang rumput yang hijau. Ya, itu kaset cetak rompak. Kenapa tidak dirampas? Saya fikir kerana bahasa dan visualnya, mungkin.

Nasiblah warden kami guru Bahasa Melayu yang tidak mengikuti perkembangan muzik semasa.

Kalaulah beliau ikuti perkembangan muzik, mungkin sudah lama beliau sudah menggantikan Zaini Hassan dalam ruangan Cuit itu, sebab warden saya itu lebih enak bahasanya walau pun tidak bercakap berbanding pecacai UMNO itu sebagai penulis otai yang banyak menulis tetapi tulisannya tidak berisi.

Sebagai seorang pembaca, saya lebih suka tulisan yang bergaya berfakta dari bergaya banyak auta. Sudahlah makna Renaissance yang luas itu terbentang di hadapan skrin telah dimanipulasikan sempit sampai menjadi seni bogel, kemudian disebarkan pula kepada rakyat jelata yang seterusnya diwarta jadi berita.
Bahaya betul Renaissance ini…dari kacamata wartawan besar lidah rasmi UMNO.

Enlightenment

Walau pun saya tidak sedar ‘bahaya’ Renaissance sewaktu di sekolah dahulu, saya dan kawan-kawan memilih untuk tukar nama kugiran kami dengan sesuatu yang lebih sopan dan beradab.

Jadi kami tubuhkan pula kugiran baru yang bernama Enlightenment, siap dengan logo segi tiga bermata satu. Kalau diMelayukan nama itu, bunyinya Pencerahan. Sayangnya, baru saja rancang nak jamming, kami semua dibuang sekolah atas perkara-perkara yang sengaja saya tak mahu mengaku di sini sama ada kami betul atau salah.

Yang pasti pembuangan kami dari sekolah itu tidak ada kena mengena antara kugiran Renaissance dan arca bertajuk David oleh Michelangelo, sang arkitek, jurutera, penyair, dan pengarca yang hidup di zaman Renaissance Eropah itu.

Pembuangan kami sebenarnya kerana bukan kerana Renaissance atau Englightenment. Ia semata-mata kerana kegelapan. Kegelapan masih menguasai diri.

Saya fikir, agak susah menentang kegelapan kecuali dengan menyertai kegelapan itu sendiri. Mungkin ada baiknya saya telan bulat-bulat apa yang disuapkan oleh Utusan sebagai lidah rasmi UMNO.

Dengan hidup dalam kegelapan, saya mungkin dianggap berjasa kepada Utusan dan UMNO yang amat takut kepada pencerahan dan pembaharuan yang bakal menjangkiti minda orang Melayu.

Tiada ulasan: